Merkel rancang sekatan drastik baharu

BERLIN, 28 OKT – Canselor Angela Merkel berusaha melaksanakan kawalan drastik baharu, termasuk penutupan baharu dalam sektor hiburan, sukan dan makanan serta minuman, dalam rundingan krisis hari ini bersama pemimpin serantau Jerman bertujuan menghentikan jangkitan koronavirus dan menyelamatkan musim cuti Krismas.

Sekatan yang disarankan berkuat kuasa mulai 4 November sehingga akhir bulan akan mengehadkan kontak tempatan luar kepada orang dari dua keluarga sahaja, menurut satu draf langkah yang dilihat oleh AFP.

Sekolah, pusat jagaan harian dan kedai kekal dibuka, tetapi hotel dibenarkan menawarkan penginapan semalaman hanya untuk ‘tujuan bukan pelancong yang penting.’

Bar, kafe, restoran masih kekal ditutup, walaupun perkhidmatan bawa pulang dan penghantaran boleh diteruskan.

Tujuannya adalah untuk ‘memutuskan rantaian jangkitan, supaya pada Krismas, sekatan teruk tidak diperlukan berhubung kontak peribadi dan aktiviti ekonomi,’ menurut draf.

“Keluarga dan kawan harus dibenarkan bertemu di bawah syarat-koronavirus pada cuti Krismas. Ia memerlukan usaha bersepadu sekarang, sama seperti yang dilakukan pada musim bunga,” tambahnya.

Di bawah sistem persekutuan, negeri individu mempunyai kata pemutus mengenai sekatan yang mana yang dikenakan, dan beberapa negeri yang kurang terjejas mungkin melenting pada langkah yang akan membawa kesan besar kepada ekonomi seterusnya. – AFP