Merpati AS sesat, jadi ‘pelarian haram’ di Australia

MELBOURNE, 14 JAN – Seekor burung merpati Amerika Syarikat dipercayai tersesat sejauh 14,480km dari tempat asalnya, membuatkan pihak berkuasa kecoh hari ini selepas ia muncul di laman belakang sebuah rumah di Melbourne, mengelak peraturan ‘kuarantin’ ketat.

Kevin Chelli-Bird menemui merpati yang agak kurus itu dengan kolar di kaki di luar rumahnya pada Hari Boxing, media tempatan melaporkan.

Dipanggil ‘Joe’ sempena nama presiden dipilih AS, Joe Biden, burung itu hilang semasa satu perlumbaan di AS pada Oktober, Chelli-Bird memberitahu akhbar Herald Sun dan dikesan mempunyai pemilik di Alabama.

“Apa yang kami fikirkan adalah dalam perlumbaan itu, ia tersasar jauh daripada laluannya ke laut, mendarat di atas sebuah bot dan menumpangnya,” dia memberitahu akhbar kelmarin.

“Mungkin ia bosan dengan Trump dan memutuskan untuk pergi,” tambahnya.

Perjalanan epik merpati itu membuatkan media tempatan kecoh, namun ketika berita itu sampai kepada pihak berkuasa, ia menjadi ‘pelarian haram’ kerana melangkaui prosedur kemasukan ketat Australia.

“Memandangkan ia tidak disediakan secara sah untuk import atau diimport, status kesihatan burung dan mana-mana orang yang ada kontak dengan asal usulnya dan sejurus ketibaan di Australia adalah tidak diketahui,” kata jurucakap wanita Jabatan Agrikultur dalam satu kenyataan. – AFP

Imej dari video menunjukkan merpati lumba dinamakan Joe, di atas sebuah bumbung rumah di Melbourne, Australia. Merpati lumba itu pertama kali dikesan lewat Disember lalu, membuat perjalanan epik dari Amerika Syarikat ke Australia, menjadi ‘pelarian haram’ di negara itu. – AP