Friday, April 19, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Merpati saya adalah atlet – penternak

    KROLEWIEC, POLAND – Membuka salah satu daripada banyak sangkarnya, Michal Trojczak memerhati dengan bangga apabila lebih daripada 70 ekor burung merpati terbang melayang tinggi di atas padang yang dilitupi salji di timur Poland.

    “Burung saya adalah atlet,” kata peminat merpati berusia 42 tahun itu, yang mewarisi semangatnya untuk menternak burung daripada bapa dan datuknya.

    Poland mempunyai komuniti penternak merpati perumah terbesar di Eropah dan sebarisan trofi pertandingan antarabangsa tetapi ketinggalan dari negara lain dalam penternakan baka yang mempunyai nilai lebih tinggi.

    Sebagai salah seorang yang telah memutuskan untuk melakukan sesuatu mengenai perkara itu, Trojczak berkata dia telah menjadi profesional selepas bersara daripada tentera beberapa tahun lalu dan bekerjasama dengan seorang rakan.

    Bersama-sama, mereka membeli burung merpati Belgium dengan baka berprestij, melabur beribu-ribu euro, termasuk 11,000 euro (AS$12,400) sahaja untuk baka seekor burung bernama Porsche 911.

    Zbigniew Oleksiak ketika ditemui pemberita di di International Trade Fair of Racing Pigeons EXPOGolebie. – AFP
    Seorang pengunjung melihat burung merpati yang dipamerkan. – AFP
    Burung merpati lumba di dalam sangkar bersebelahan bersama anugerah di International Trade Fair of Racing Pigeons EXPOGolebie di Pusat Kongres Antarabangsa di Katowice, Poland. – AFP

    Kelihatan para pengunjung berbaris untuk mengunjungi International Trade Fair of Racing Pigeons EXPOGolebie. – AFP

    “Dia memberikan kami banyak kepuasan dan wang,” kata bekas kapten tentera kepada AFP.

    Kini, dia berharap tiada had untuk peminat merpati Poland, yang mana dia percaya akan bangkit untuk menyaingi rakan negara jiran mereka dari Belgium dan Belanda dalam tempoh sedekad.

    Burung komunikasi

    Loteng merpati adalah sebahagian daripada landskap Poland terutamanya di kawasan perlombongan Silesia, di mana penternakann merpati mempunyai sejarah dan burung menikmati status hampir mitos.

    Selepas seharian di bawah tanah, masih biasa untuk melihat pelombong muncul di siang hari, mengimbas langit untuk mencari rakan bersayap mereka. Dilepaskan beratus-ratus kilometer dari loteng merpati mereka, burung-burung itu menemui jalan pulang berkat keupayaan untuk mengesan medan magnet bumi dan menyesuaikan haiwan itu mengikut matahari.

    Terbang bersama angin, ia boleh mencapai kelajuan sehingga 120 kilometer sejam.

    Selepas Poland memenangi semula kemerdekaannya pada tahun 1918, penggunaan, penternakan dan perlumbaan merpati dikawal oleh kementerian hal ehwal ketenteraan ke-rana kepentingan strategik keupayaan burung untuk membawa komunikasi.

    Nazi segera mengharamkan penternakan merpati selepas menakluki Poland pada tahun 1939, dan peminat terpaksa memulakan semula dari awal selepas perang.

    Kekuatan dalam bilangan

    “Dengan lebih 40,000 ahli, kami adalah organisasi terbesar seumpamanya di Eropah, yang diasaskan lebih 100 tahun lalu,” kata Krzysztof Kawaler, ketua persatuan penternak merpati Poland.

    Perancis dan Belgium yang meminati merpati secara mendalam, masing-masing mempunyai kira-kira 11,000 dan 13,000 penternak, menurut persatuan mereka.

    “Kami membawa pulang hadiah terbanyak pada pertandingan antarabangsa,” kata Kawaler kepada AFP pada pameran perdagangan di Katowice, di tengah-tengah wilayah Silesia.

    Kejohanan tersebut tidak melihat burung merpati berkumpul di satu tempat, seperti yang dilakukan oleh atlet dunia di Sukan Olimpik. Sebaliknya, setiap negara mengadakan perlumbaan tempatan sendiri di mana burung merpati dilengkapi dengan cincin elektronik untuk merekodkan masa penerbangan.

    Keputusan dikira di seluruh negara menggunakan perkiraan yang mengambil kira bilangan merpati yang mengambil bahagian. Memandangkan Poland mempunyai ramai penternak, ia membantu meningkatkan markahnya, menurut Trojczak.

    “Tetapi ia tidak menggambarkan nilai sebenar merpati itu,” tegasnya sambil mengeluh peminat merpati Poland masih dilihat sebagai amatur di Eropah Barat.

    Perintah mematuk

    “Di pasaran Poland, merpati berharga antara 250 zloty (sekitar 55 euro) dan empat, lima atau bahkan 6,000 zloty bagi mereka yang menyertai kejohanan antarabangsa,” kata penternak veteran Zbigniew Oleksiak kepada AFP.

    Di Eropah Barat, bagaimanapun, harga bermula pada sekitar 200 euro tetapi boleh melambung tinggi, seperti burung merpati Belgium, Armando, yang memperoleh 1.25 juta euro pada lelongan pada 2019.

    Pembelinya adalah orang Cina, begitu juga dengan pemilik baharu New Kim, seekor lagi burung Belgium yang dijual pada harga 1.6 juta euro pada tahun berikutnya. Seperti kuda lumba, baka keluarga burung yang penting kepada pembeli, terutamanya dari Asia.

    Masa yang panjang

    Untuk Trojczak, hari-harinya panjang, terutamanya pada musim bunga dan musim panas.
    “Awda perlu melatih merpati untuk membentuknya, memantau kesihatan, memberi makannya dengan baik,” katanya.

    “Apabila awda perlu mempersiapkan burung untuk acara perlumbaan, kadangkala saya akan bangun dan berlari pada pukul 4 pagi dan tidak akan tamat sehingga pukul 9 malam.”
    Dia kini menjual kira-kira 100 ekor merpati setahun pada harga antara 100 hingga 2,500 euro, yang membolehkan “kehidupan agak selesa apabila digabungkan dengan pencen tentera saya”.

    Tetapi tujuannya bukan hanya untuk mencari wang, malah penternakan merpati itu adalah memang minat saya.

    “Saya boleh mengesan setiap merpati saya sejak tiga atau empat generasi… Saya lebih mengenali baka famili burung saya berbanding susur galur keluarga saya sendiri,” katanya sambil ketawa. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...