Wednesday, April 24, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Mertua tiri dengan menantu tiri: adakah mahram?

    (Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    Mengetahui atau mengenali orang-orang yang dikategorikan sebagai mahram dan bukan mahram adalah amat penting kerana terdapat perbezaan batasan hukum terhadap keduanya.

    Mahram ialah orang lelaki atau perempuan yang haram dinikahi menurut hukum syara‘ kerana hubungan nasab (keturunan), sesusuan dan perkahwinan.

    Perempuan mahram kerana hubungan nasab (keturunan) ada disebutkan secara terperinci dalam Al-Quran, maka untuk memudahkan disebutkan satu persatu seperti berikut, ibu kandung (termasuk nenek dan seterusnya ke atas), anak perempuan kandung (termasuk cucu dan seterusnya ke bawah), adik beradik perempuan seibu sebapa, adik beradik perempuan sebapa, adik beradik perempuan seibu, ibu saudara sebelah bapa (adik-beradik bapa) dan seterusnya ke atas, ibu saudara sebelah ibu (adik-beradik ibu) dan seterusnya ke atas, anak perempuan dari adik-beradik lelaki mahupun dari adik-beradik perempuan (anak kemanakan).

    Perempuan mahram kerana saudara sesusuan adalah sama pembahagiannya dengan perempuan mahram kerana nasab (keturunan). Persamaan ini adalah berdasarkan sebuah hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha yang maksudnya:

    “Dilarang untuk dinikahi saudara (adik-beradik) perempuan sesusuan sebagaimana dilarang untuk dinikahi saudara perempuan kerana keturunan.”

    (Hadis riwayat Muslim)

    Manakala perempuan mahram kerana perkahwinan juga jelas disebutkan dalam al-Quran seperti berikut, ibu mertua, anak menantu, ibu tiri dan anak tiri.
    Apa yang jelas ialah ikatan perkahwinan boleh membuatkan seseorang itu menjadi mahram, namun timbul persoalan adakah antara ibu mertua tiri dengan menantu lelaki tirinya atau sebaliknya bapa mertua tiri dengan menantu perempuan tirinya dikategorikan sebagai mahram?

    Mungkin sebilangan orang mempunyai tanggapan bahawa hubungan ibu mertua tiri iaitu ibu tiri kepada isteri dengan menantu lelaki tirinya seolah-olah sama dengan hubungan ibu mertua kandung iaitu ibu kandung kepada isteri dengan menantu lelakinya.

    Begitu juga sebaliknya menantu lelaki tiri juga mungkin tidak mengetahui dan beranggapan bahawa apabila dia sudah berkahwin dengan seorang perempuan yang mempunyai ibu tiri maka ibu tiri isterinya itu atau ibu mertua tirinya itu dianggapnya juga sebagai mahram disebabkan perkahwinan.

    Begitu juga halnya jika berlaku sebaliknya antara bapa mertua tiri dengan anak menantu perempuan tirinya.

    Persoalannya, adakah tanggapan-tanggapan yang disebutkan itu betul? Maka akan dijelaskan dengan lebih lanjut adakah mertua tiri termasuk dalam kategori mahram kepada menantu tirinya.

    Siapa mertua tiri dan siapa menantu tiri?

    Untuk memudahkan fahaman, maka akan diterangkan terlebih dahulu siapakah yang dimaksudkan dengan ibu mertua tiri dan menantu tiri?

    Pada dasarnya, apabila seseorang lelaki berkahwin dengan seorang perempuan, maka hubungan bapa kandung dan ibu kandung perempuan itu jika dinisbahkan kepada suami perempuan itu akan menjadi sebagai bapa mertua kandung atau ibu mertua kandung.

    Namun berbeza keadaannya jika bapa perempuan atau ibu perempuan itu berkahwin baharu, kerana isteri bapa perempuan yang baharu itu ataupun suami ibu perempuan yang baharu itu akan menjadi bapa tiri atau ibu tiri kepadanya. Maka hubungan bapa tiri atau ibu tiri perempuan itu jika dinisbahkan kepada suami perempuan itu akan menjadi sebagai bapa mertua tiri ataupun ibu mertua tiri.

    Begitulah gambaran bagaimana boleh terjadinya bapa mertua tiri atau ibu mertua tiri dan anak menantu lelaki tiri atau anak menantu perempuan tiri.

    Adakah sama antara mertua kandung dengan mertua tiri dan antara menantu kandung dengan menantu tiri?

    Perbezaan mertua kandung dengan mertua tiri

    Terdapat perbezaan antara bapa mertua kandung dengan bapa mertua tiri dan antara ibu mertua kandung dengan ibu mertua tiri sebagaimana diterangkan sebelum ini.

    Apabila berlaku perkahwinan antara seorang lelaki dengan seorang perempuan, maka bapa kandung lelaki itu akan menjadi mahram kepada isterinya kerana dikira sebagai bapa mertua kandung kepada isteri. Begitu juga sebaliknya ibu kandung perempuan itu akan menjadi mahram kepada suaminya kerana dikira sebagai ibu mertua kandung kepada suami.

    Al-Quran al-Karim telah menyebutkan kedudukan ibu mertua kandung sebagai salah seorang mahram disebabkan perkahwinan. Perkara ini jelas sebagaimana Allah Ta‘ala berfirman yang tafsirnya:

    “Dan ibu-ibu kepada isteri-isteri kamu (ibu mertua termasuk nenek perempuannya) …” (Surah an-Nisa: 22)

    Namun tidaklah sama halnya jika seorang lelaki itu berkahwin dengan seorang perempuan yang mempunyai ibu tiri, kerana walaupun setelah lelaki dan perempuan itu berkahwin, ibu tiri perempuan itu tidaklah menjadi mahram kepadanya. Begitu juga jika berlaku sebaliknya seorang perempuan berkahwin dengan seorang lelaki yang mempunyai bapa tiri, bapa tiri lelaki itu juga tidak menjadi mahram kepada perempuan itu.

    Bahkan seorang lelaki boleh mengahwini ibu mertua tirinya jika berlaku perceraian atau kematian kepada bapa isterinya sepertimana disebutkan dalam kitab al-Hawi al-Kabir:

    “(Bagi tujuan untuk dijadikan isteri) tidak mengapa bagi seorang lelaki menghimpunkan seorang perempuan dengan (bekas) isteri bapa perempuan itu (iaitu bekas ibu tiri perempuan itu) atau (dengan bekas) isteri anak lelaki perempuan itu, dan menghimpunkan seorang perempuan dengan anak tiri perempuan itu, kerana di antara mereka tidak ada ikatan nasab.”

    Justeru itu, kedudukan mertua kandung adalah tidak sama dengan mertua tiri. Hubungan mertua kandung dengan menantu kandungnya adalah hubungan mahram mu’abbad (selama-lamanya). Manakala hubungan mertua tiri dengan menantu tiri adalah ajnabi (orang asing).

    Perbezaan menantu kandung dengan menantu tiri

    Begitu juga terdapat perbezaan antara menantu lelaki kandung dengan menantu lelaki tiri dan antara menantu perempuan kandung dengan menantu perempuan tiri.

    Apa yang jelas ialah isteri bagi anak kandung (menantu kandung) adalah mahram mu’abbad sementara isteri bagi anak tiri (menantu tiri) adalah ajnabi.

    Menantu yang dikira sebagai mahram mu’abbad sebagaimana disebutkan dalam al-Qur’an al-Karim itu ialah isteri dari anak kandung, bukan isteri dari anak tiri. Untuk lebih jelas disebutkan sekali lagi ayat tersebut, firman Allah Ta‘ala yang tafsirnya:

    “Dan (haram kamu berkahwin dengan bekas) isteri anak-anak kamu sendiri yang berasal dari benih kamu (termasuk isteri cucu).” (Surah an-Nisaa’: 23)

    Syeikh al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullahu Ta‘ala menyatakan dalam kitabnya Mughni al-Muhtaj bahawa isteri daripada anak angkat samalah juga dengan isteri anak tiri tidaklah termasuk kategori mahram, dan tidak haram mengahwininya selepas dia bercerai dengan suaminya. Maka untuk lebih jelas dibawakan nash dari kitab Mughni al-Muhtaj tersebut yang ertinya:

    “Tidak termasuk (daripada kategori mahram itu) ialah isteri anak angkat (termasuk juga isteri anak tiri), maka tidak haram ke atas seseorang (mengahwini bekas) isteri anak angkatnya kerana anak angkatnya itu bukanlah anaknya sebenar.”

    Berdasarkan penjelasan itu jelaslah bahawa mertua tiri dan menantu tiri tidaklah ada ikatan mahram dan hubungan antara keduanya adalah seperti hubungan bersama dengan orang asing.

    Batasan hukum antara mertua tiri dengan menantu tiri

    Oleh itu antara mertua tiri dengan menantu tiri hendaklah menjaga etika pergaulan sepertimana yang digariskan oleh syara‘ iaitu antaranya:

    Menutup aurat:

    Menutup aurat kepada selain mahram hukumnya adalah wajib. Kewajipan menutup aurat kepada selain mahram itu jelas disebutkan dalam al-Quran dan hadis. Dari itu, antara mertua tiri dengan menantu tiri tidak ada hubungan mahram, maka mereka tidaklah boleh mendedahkan aurat antara mereka.

    Tidak berdua-duaan atau berkhalwat:

    Larangan ini jelas disebutkan dalam sebuah hadits daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma bahawa dia pernah mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam berkhutbah yang maksudnya:

    “Jangan seorang lelaki berdua-duaan dengan seorang perempuan melainkan ada bersamanya (perempuan atau lelaki) mahram.” (Hadis riwayat Muslim)
    Tidak bersentuhan:

    Ancaman bersentuhan dengan perempuan asing ini ada disebutkan dalam sebuah hadits daripada Ma‘qil bin Yasar Radhiallahu ‘anhu bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:

    “Adalah lebih baik seseorang di antara kamu dicucuk kepalanya dengan jarum dari besi daripada menyentuh perempuan yang tidak halal untuknya.” (Hadis riwayat at-Thabrani dan al-Baihaqi)

    Oleh itu, antara mertua tiri dengan menantu tiri tidak boleh mendedahkan aurat, tidak boleh berdua-duaan dan tidak boleh bersentuhan seperti berjabat tangan kerana jelas hukumnya adalah haram.

    Maka sebagai kesimpulan, mertua tiri perlu mengetahui bahawa suami kepada anak perempuan tirinya atau isteri kepada anak lelaki tirinya iaitu menantu tirinya adalah tidak dikategorikan sebagai mahram kepadanya sebagaimana diterangkan sebelum ini kerana anak menantu yang dimaksudkan mahram sebagaimana disebutkan dalam al-Quran itu ialah suami atau isteri kepada anak kandungnya.

    Begitu juga nisbahnya kepada menantu tiri, menantu tiri juga perlu mengetahui bahawa suami kedua kepada ibu isterinya (bapa tiri isteri) atau isteri kedua kepada bapa isterinya (ibu tiri isteri) adalah tidak dikategorikan sebagai mahram kepadanya kerana mertua yang dimaksudkan mahram sebagaimana disebutkan dalam al-Quran itu ialah bapa kandung atau ibu kandung kepada isteri.

    Dengan ini jelaslah bahawa kedudukkan mertua kandung adalah tidak sama dengan mertua tiri. Mertua kandung merupakan mahram, manakala mertua tiri adalah ajnabi.

    Begitu juga kedudukan anak menantu kandung adalah tidak sama dengan anak menantu tiri. Anak menantu kandung merupakan mahram, manakala anak menantu tiri adalah ajnabi.

    Apa yang penting dan perlu diambil perhatian ialah hubungan antara mertua tiri dengan menantu tirinya adalah seperti hubungan sesama orang asing yang bukan mahram. Ini bererti antara mereka wajib menjaga batasan pergaulan sebagaimana yang ditetapkan oleh syara‘, walaupun bernaung di bawah satu bumbung.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...