ULASAN BUKU OLEH RAZ AS
NOVEL The Twelve Lives of Samuel Hawley adalah sebuah novel thriller terbaru daripada penulis yang telah memenangi anugerah dengan novel The Good Thief, Hannah Tinti, yang mengisahkan tentang pergelutan seorang ayah untuk melindungi anak gadisnya daripada legasi masa silam dan kebenaran di sebalik kematian ibunya.
Setelah bertahun-tahun hidup dalam pelarian, Samuel Hawley bersama-sama anak gadisnya, Loo, berpindah dan menetap di Olympus, Massachusetts, kampung halaman arwah isterinya.
Di sana, Samuel menyara kehidupan mereka anak-beranak dengan bekerja sebagai seorang nelayan. Manakala anaknya Loo pula bergelut untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan di sana, lebih-lebih lagi dalam kehidupan persekolahannya. Tambahan lagi, perasaan ingin tahu Loo mengenai kematian ibunya yang penuh misteri menjadi semakin membuak-buak.

Dua belas kesan parut yang terdapat pada badan Samuel sering kali menghantui kehidupan mereka. Kesan parut tersebut adalah berasal daripada luka terkena 12 das tembakan satu ketika dahulu. Masa silam Samuel turut menelan kehidupan anak gadisnya, dan mereka harus menempuhi segala yang bakal menimpa bersama-sama.
Ikuti kisah kedua anak-beranak ini yang merentas masa dan tempat, dari Alaska hinggalah ke Adirondacks. Sebuah novel thriller, novel The Twelve Lives of Samuel Hawley karya Hannah Tinti membawa pembaca untuk menerokai makna sebenar untuk menjadi seorang wira, dan harga yang harus dibayar demi melindungi orang-orang yang kita sayangi.