ULASAN SIRI TV OLEH RUZAINI HAJI DAUD
PERASAAN cinta dalam hati seseorang individu itu boleh hadir tidak kira masa dan tanpa mengira lokasi kerana ia bukan sesuatu yang dapat dijangka atau diaturkan.
Justeru, perkara itu yang cuba ditonjolkan dalam sebuah siri drama Korea terbaharu, Witch’s Love hasil tulian skrip oleh Son Eun-hye dan diarahkan oleh Park Chan-yool.
Siri drama yang menerapkan elemen komedi romantik, misteri dan fantasi ini menggandingkan pelakon hebat seperti Yoon So-he, Hyun Woo dan Lee Hong-bin sebagai teraju utama.
Ketiga-tiga pelakon ini memang telah berjaya menampilkan aksi lakonan hebat yang tersendiri.
Yoon So-hee, pelakon muda kelahiran Jerman itu pernah membintangi siri drama Let’s Eat, Secret Door dan The Emperor : Owner of the Mask.

Manakala Kim Hyun-woo pula pelakon lelaki berusia 33 tahun yang pernah membintangi drama Pasta dan Bravo My Life.
Sementara, Lee Hong Bin pula merupakan seorang anggota kumpulan VIXX yang pernah membintangi siri drama The Heirs, Moorim School dan Wednesday 3.30 PM.
Pada dasarnya, siri drama ini mengisahkan mengenai seorang ahli sihir moden bernama Kang Cho hong lakonan Yoon So hee yang bertugas dalam menguruskan sebuah restoran.
Dia juga turut dibantu oleh dua orang rakannya, Maeng Ye-soon lakonan Kim Young-ok dan jo Aeng-doo lakonan Go Soo-he yang juga merupakan ahli sihir.
Tugasan harian Kang Cho-hong adalah menghantar makanan yang dipesan ke setiap rumah pelanggan.
Tanpa di duga dia telah bertemu dengan dua orang pelanggan lelaki Ma Sung-tae lakonan Hyun Woo yang merupakan seorang lelaki kaya yang arif dalam seni mempertahankan diri dan Hwang Jae-wook lakonan Lee Hong-bin yang merupakan seorang pelukis kartun animasi.
Pertemuan tersebut juga secara tidak langsung telah membibitkan rasa cinta namun siapakah bakal menjadi pilihan hati kepada Kang Cho-hong.
Di samping itu, apakah persepsi kedua-dua lelaki itu tatkala mengetahui bahawa Kang Cho-hong itu adalah merupakan seorang ahli sihir.
Lalu, untuk mengetahui kesudahannya jangan terlepas untuk terus menonton siri drama Witch’s Love sehingga ke penghujungnya.