ULASAN BUKU OLEH RAZ AS
BAGAIMANAKAH sekiranya sesuatu yang sangat lazim di dalam kehidupan tiba-tiba menghilang? Itulah yang ditampilkan di dalam novel The Disappearances karya Emily Bain Murphy.
Di dalam novel ini, pembaca diperkenalkan kepada protagonis, Aila Quinn, yang mana ibunya, Juliet, adalah seorang yang penuh misteri dan pandai menyimpan rahsia meskipun daripada pengetahuan anaknya sendiri.
Apabila Juliet meninggal dunia, Aila bersama dengan adik lelakinya, Miles, telah dihantar untuk tinggal di sebuah pekan kecil jauh di pedalaman, Sterling. Sterling adalah tempat di mana Juliet dibesarkan dan pekan itu mempunyai misterinya yang tersendiri.
Di Sterling, sesuatu yang sangat aneh telah terjadi. Perkara-perkara yang lazim di dalam kehidupan seperti bau-bauan bunga dan makanan, pantulan cermin-cermin dan tasik mahupun kebolehan untuk mimpi di dalam tidur tiba-tiba menghilang setiap tujuh tahun. Tiada sesiapa pun yang mengetahui punca di sebalik kehilangan itu, dan tiada sesiapa pun yang dapat memastikan apakah yang bakal menghilang kemudiannya.
Penduduk-penduduk Sterling menyimpan syak wasangka bahawa berkemungkinan fenomena aneh mengenai kehilangan itu adalah berkaitan dan berpunca daripada Juliet. Aila kini terpaksa berhadapan dengan tuduhan dan amarah penduduk pekan di samping cuba untuk mengikuti petunjuk-petunjuk yang tinggalkan oleh arwah ibunya.
Dengan fenomena kehilangan seterusnya akan semakin mendekat, Aila sedikit demi sedikit mula membongkar misteri mengapa fenomena kehilangan itu terjadi dan siapakah identiti sebenar arwah ibunya itu. Namun sesuatu yang pasti adalah pekan kecil itu tidak akan mampu untuk menyorokkan rahsia-rahsia sebelum ia terbongkar.