GEORGE TOWN, 19 OGOS – Pengarah Teknikal Penang FC, Merzagua Abderrazak kesal dengan tindakan segelintir penyokong pasukan itu yang berterusan mengeluarkan kata-kata kasar serta membuli pemain PFC III (B20) dan PFC IV (B18).
Merzagua berkata trend itu dilihat membimbangkan dan dikhuatiri akan melemahkan moral serta keyakinan pemain sekiranya perbuatan negatif seperti itu terus berlaku.
“Pemain-pemain muda ini telah dipilih berdasarkan potensi mereka. Walaupun mempunyai pengalaman yang terhad dan datang daripada latar belakang kurang berkemampuan, namun mereka sedang berusaha keras untuk meningkatkan kemahiran bola sepak masing-masing.
“Dalam hal ini, peranan kami adalah untuk menyokong dan membangunkan pemain-pemain muda, membantu mereka berkembang baik di dalam mahupun di luar padang.
Kami komited untuk memupuk bakat mereka dan menyediakan kelengkapan yang diperlukan untuk berjaya,” katanya menerusi perutusan buat penyokong Penang FC di laman Facebook Penang Football Club.
Beliau berkata tingkah laku negatif dan menyakitkan hati segelintir penyokong bukan sahaja mengecewakan, tetapi juga tidak produktif. – Bernama