Mesej derma van jenazah tidak sahih

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 MEI – Mesej mengenai permohonan sumbangan derma bagi pembelian van jenazah untuk Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Tutong yang ditularkan menerusi WhatsApp dan Facebook itu adalah tidak sahih, menurut kenyataan Kementerian Kesihatan hari ini.

Kementerian tersebut menyatakan tidak pernah mengeluarkan sebarang permohonan terbuka bagi sumbangan derma tersebut dan tidak pernah memberikan kebenaran kepada pihak-pihak yang dinyatakan dalam mesej berkenaan untuk memohon sumbangan derma bagi pihak Kementerian Kesihatan.

Sehubungan dengan itu, orang ramai dipohonkan untuk tidak menyebarkan lagi mesej tersebut.

Kementerian Kesihatan mengingatkan orang ramai bahawa perbuatan menyebarkan maklumat tidak sahih itu adalah satu kesalahan, apatah lagi yang palsu dan direka oleh mereka yang semata-mata berniat untuk mengelirukan dan boleh dilaporkan di bawah perundangan Akta Ketenteraman Awam, Penggal 148, Seksyen 34, iaitu sesiapa yang sama ada menggunakan lisan atau tulisan atau menggunakan sebarang cara, menyebarkan laporan yang salah atau membuat kenyataan yang salah, yang menyebabkan ketenteraman awam terganggu boleh dipenjara tiga tahun dan denda sebanyak $3,000.

Bagi maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Talian Darussalam 123 pada bila-bila masa.