Oleh Daniel Lim
BELAIT, 11 MAC – Susulan mesej tular yang tersebar di media-media sosial mengenai penutupan Pos Kawalan Imigresen Sungai Tujoh, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan hari ini secara rasmi mengatakan bahawa mesej itu adalah palsu.
Menurut kenyataan itu, semua pos kawalan imigresen di seluruh negara masih lagi beroperasi seperti biasa dan perkara itu disahkan oleh wartawan yang mengunjungi pos kawalan di Sungai Tujoh, dengan pegawai dan kakitangan masih bekerja dan beroperasi seperti biasa.
Sehubungan itu, jabatan itu menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan sebarang berita atau mesej palsu dan tidak membuat spekulasi mengenai maklumat yang belum disahkan sumber rasmi di platform media sosial. Penyebaran berita atau mesej palsu boleh didenda di bawah Akta Perintah Awam dan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun dan denda $3,000.

