Mesej perintah berkurung tular, palsu

KUALA LUMPUR, 21 Jan – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) hari ini menjelaskan ia tidak mengeluarkan sebarang arahan berkaitan perintah berkurung remaja di bawah umur 18 tahun.

Merujuk kepada mesej yang tular menerusi aplikasi WhatsApp, kementerian itu meminta orang ramai untuk membuat semakan sebelum menyebarkan sesuatu perkara.

Menerusi perkongsian di laman Twitter dan Facebook, KPWKM memuat naik ‘tangkap skrin’ mesej tular itu yang berbunyi: “Mulai malam ini (berkuat kuasa serta-merta) adik-adik di bawah umur 18 tahun (13-16) tidak dibenarkan berada di luar kawasan rumah melebihi jam 10 malam, manakala yang berumur 12 tahun dan ke bawah tidak dibenarkan berada di luar dari kawasan rumah melebihi jam 8 malam kecuali hal yang tidak dapat dielakkan. – Kementerian Pembangunan Wanita dan Masyarakat.”

Sehubungan itu, KPWKM memohon agar semua pihak tidak menyebarkan maklumat palsu berkenaan. – Bernama