Oleh Lenna N.B.
MAKHLUK ‘Ogre’, adalah berasal dari cerita-cerita rakyat Inggeris, digambarkan seluruh tubuhnya berwarna hijau, berbadan besar, dan memiliki paras rupa yang hodoh. Sering kali dikaitkan sebagai watak yang menakutkan di dalam cerita-cerita lama, namun kemunculannya dalam sebuah filem animasi keluaran Dreamworks pada tahun 2001 telah berjaya mengubah persepsi stereotaip terhadap watak tersebut.
Walaupun berpenampilan hodoh dan menakutkan tetapi ia mempunyai peribadi yang baik hati dan lucu. Sejak itu, makhluk ‘Ogre’ bernama Shrek menjadi kesukaan ramai kepada kanak-kanak di seluruh dunia. Malah, filem animasi ‘Shrek’ itu juga telah memenangi Anugerah Oscar pada tahun 2002.
Walaupun sudah berlalu kira-kira lebih 15 tahun yang lalu, Relentless Entertainment baru-baru ini, telah menghidupkan semula filem tersebut dalam bentuk teater muzikal di Pusat Seni, Sekolah Antarabangsa Jerudong yang dipersembahkan selama dua hari berturut-turut pada 16 dan 17 September lalu, yang berjaya menarik lebih 1,000 pengunjung.
Menggabungkan seni tari, seni lakon dan seni vokal dalam sebuah persembahan, lebih 100 kru terlibat dalam menjayakan teater muzikal Shrek, iaitu sejumlah 51 orang pemegang watak, dan kira-kira 50 orang sukarelawan belia kru yang bertanggungjawab di sebalik tabir persembahan.
Dalam menjayakan teater muzikal ini, bukan sahaja melibatkan kerja-kerja pengarahan, dan kareografi tetapi juga dari segi set pentas, props, kostum, solekan, bahagian logistik dan teknikal, serta banyak lagi perkara-perkara yang berkaitan dengan pementasan.




Bagi pihak Relentless Entertainment selaku penggerak dan penggiat industri seni tanahair, mereka ingin memberikan pengalaman pendidikan yang unik melalui persembahan teater muzikal, iaitu dengan melibatkan golongan kanak-kanak serta para belia agar mereka dapat menggunakan tenaga dan fikiran mereka ke arah kreativiti. Justeru itu, generasi muda kita bukan sahaja berada dalam persekitaran yang sihat, tetapi pada masa yang sama membantu untuk membina keyakinan diri, mencungkil bakat kebolehan mereka, serta menjadi karier untuk menjana pendapatan.
Bukan kisah cinta romantis putera puteri
Apabila disebut mengenai kisah dongeng seperti Snow White dan Sleeping Beauty, pasti akan membawa kita terimbas kembali akan kisah-kisah cinta romantis tentang seorang puteri yang akhirnya diselamatkan oleh puteranya, dan mereka hidup bahagia selama-lamanya dipenuhi dengan perasaan cinta dan sayang.
Kisah cinta romantis ini juga, sepatutnya berlaku kepada Puteri Fiona yang telah disumpah menjadi makhluk hodoh ‘Ogre’ setiap kali malam menjelma. Dia dikurung di dalam istana naga sejak kecil lagi, dan seperti puteri-puteri dalam buku cerita yang dibacanya, dia juga menanti seorang putera untuk datang menyelamatkannya dan membuang sumpahannya, agar dia dapat menjadi seorang puteri yang selamanya cantik dan hidup bahagia.
Namun, impiannya hanya tinggal angan-angan, apabila makhluk hodoh Shrek yang datang membawanya keluar daripada istana naga tersebut. Manakala, Shrek pula bukanlah seperti seorang putera tipikal lain yang tampil dengan rupa kacak dan bertubuh kekar. Fizikalnya berperut buncit, suka berkentut, dan tidak romantis menjadikan perjalanan cerita Puteri Fiona penuh lucu. Kisah romantiknya tidak seperti yang dibayang-bayangkan.




Semuanya bermula apabila Lord Farquaad yang berkuasa di Kerajaan Duloc telah menghalau makhluk-makhluk ganjil seperti Humpty Dumpty, Pinocchio, Ahli Sihir, Peter Pan, orang-orang kerdil dan banyak lagi penduduk-penduduk yang baginya memiliki kekurangan dan merosakkan kerajaannya.
Penghalauan itu menyebabkan mereka terpaksa tinggal di dalam hutan di tempat kediaman Shrek. Shrek pula lebih selesa tinggal seorang diri dan tidak suka diganggu oleh makhluk-makhluk lain. Justeru itu, dia merantau ke Kerajaan Duloc untuk mengembalikan makhluk-makhluk tersebut ke tempat asal mereka agar dia dapat tinggal di kediamannya tanpa gangguan.
Kebetulan pada ketika itu, Lord Farquaad ingin mendapatkan Puteri Fiona untuk dijadikan sebagai isterinya, demi mendapatkan kuasa penuh selaku Raja Duloc. Lord Farquaad berjanji akan mengembalikan kediamannya setelah Shrek membawa Puteri Fiona yang dimahukannya. Dari itu, bermulalah kisah perjalanan Shrek menyelamatkan Puteri Fiona namun tanpa dirancang, mereka berdua jatuh cinta antara satu sama yang lain.
Begitulah uniknya perjalanan cerita Shrek bukan seperti kisah cinta romantis putera puteri dalam cerita-cerita rakyat Inggeris yang sebelumnya. Walaupun perwatakan Shrek yang ganas, hodoh dan agak menggelikan, ternyata Puteri Fiona jatuh cinta dengan kebaikan hati dan sikap bersahaja Shrek. Keserasian itu, sangat jelas sekali apabila mereka saling berlawan kentut, sama-sama degil, dan suka bermain-main antara satu sama yang lain.
Kisah cinta Shrek dan Puteri Fiona ini semakin lucu lagi dengan kemunculan watak keldai yang terlalu aktif dan mesra bernama ‘Donkey’. Persembahan diakhiri dengan sorakan gembira dari makhluk-makhluk ganjil apabila Lord Farquaad dapat disingkirkan. Puteri Fiona pula menjelma menjadi ‘Ogre’ dan tetap kelihatan cantik di mata Shrek.
Persembahan diakhiri dengan tarian penuh rancak dan ceria menandakan Shrek bersama Puteri Fiona serta makhluk-makhluk ganjil yang lainnya hidup bahagia dalam keadaan aman damai.




Walau tidak seromantis kisah dongeng putera puteri, Shrek berjaya meninggalkan mesej betapa cinta dan kasih sayang itu bukan diukur dari paras rupa atau kesempurnaan kerana kecacatan atau kekurangan itulah menjadi pelengkap antara satu sama yang lain, umpamanya persahabatan yang terjalin antara Shrek dan Donkey, serta kisah cinta antara Shrek dan Puteri Fiona.
Penjaya watak
Di hujung persembahan, kedengaran bunyi tepukan memenuhi ruang dewan teater. Para khalayak audien ternyata kagum dengan teater muzikal yang telah dihidupkan semula dari filem Shrek. Sepanjang persembahan, kedengaran suara gelak ketawa kanak-kanak. Begitu juga para ibu bapa yang turut terhibur sama dengan persembahan teater muzikal tersebut.
Antara penjaya watak-watak utama adalah Awang Md. Mustaqim bin Haji Hariah Mohamed yang membawakan watak Shrek, Dayang Aqilah binti Ali selaku pembawa watak Puteri Fiona, Awang Mohammad Jefri bin Ismail, keaktifannya selaku Donkey, dan Awang Safwan bin Haji Mohamad, dengan watak antagonisnya sebagai Lord Farquaad. Manakala 47 karekter lagi, menjayakan watak-watak sampingan seperti makhluk-makhluk ganjil dalam cerita dongeng, askar istana, dan sebagainya. Turut menjayakan pementasan adalah belia-belia dari Brunei Parkour yang melakukan aksi-aksi stunt dalam persembahan.
Dalam menjayakan teater muzikal Shrek ini, Relentless Entertaiment bukan sahaja berjaya mempersembahkan dan merealisasikan sebuah lagi pementasan selepas kejayaan teater muzikal yang sebelumnya, tetapi telah berjaya mengumpulkan sekumpulan belia-belia yang penuh berbakat dan berkebolehan di bidang seni, yang akan turut sama menyumbang kepada industri seni tanahair. Di jangka masa panjang, industri seni bukan sekadar menjadi platform hiburan orang ramai tetapi turut menjana kepada industri pelancongan, serta medan perkerjaan yang lebih luas.