Mesej tular baki tak dituntut tidak benar

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 OGOS – Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) hari ini memaklumkan orang ramai bahawa mesej tular mengenai baki yang tidak dituntut adalah tidak benar dan tidak berasas.

Sehubungan itu, TAIB dalam kenyataannya hari ini menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan lagi mesej berkenaan dan memperi-ngatkan bahawa penyebaran maklumat palsu yang boleh mengancam ketenteraman awam merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 34 Akta Ketenteraman Awam (Bab 148).

Untuk makluman orang ramai, jelas kenyataan itu lagi, akaun yang tidak aktif selama lebih dari enam tahun akan diklasifikasikan sebagai ‘baki tidak dituntut’ seperti yang dinyatakan dalam klausa Terma dan Syarat 9 (ii).

Walau bagaimanapun, akaun seumpama itu dengan baki $100 ke bawah boleh dituntut di TAIB dari awal Jun hingga akhir Ogos 2020. Sekiranya pelanggan tidak menuntut baki pada waktu yang ditentukan, bank berkenaan akan mengenakan caj untuk akaun tidak aktif.

Sehubungan itu, TAIB ingin menjemput pemilik akaun yang disenaraikan untuk mengunjungi cawangan terdekat mereka dengan membawa buku simpanan dan kad pengenalan untuk menuntut baki akaun.

Orang ramai juga boleh mengunjungi laman web mereka untuk melihat senarai baki yang tidak dituntut. Bagi sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi pusat panggilan atau boleh mengikuti media sosial rasmi mereka.