Saturday, April 20, 2024
29.4 C
Brunei

    -

    Mesej tular caj pelupusan tayar lama kurang tepat

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 MEI – Kementerian Pembangunan menerusi Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe) mengambil maklum akan mesej tular di media sosial WhatsApp, baru-baru ini, mengenai bayaran berjumlah $1 yang dikatakan dikenakan bagi setiap tayar lama atau terpakai apabila menggantikan dengan tayar baharu, jika tayar lama tersebut ditinggalkan di kedai menjual tayar.

    Juga ditularkan bersama mesej berkenaan adalah gambar surat notis daripada Syarikat Kehasan (B) Sdn Bhd yang memaklumkan semua pengguna dan pelanggannya mengenai pengenaan yuran pembuangan tayar ke tempat kemudahan atau fasiliti mereka mengikut saiz tayar.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan, JASTRe memaklumkan bahawa satu perjanjian telah ditandatangani antara pihak kerajaan yang diwakili oleh JASTRe dan Kehasan (B) Sdn Bhd bagi pengurusan sisa buangan dan aktiviti kitar semula, termasuk perkhidmatan pelupusan tayar-tayar terpakai, di sebuah fasiliti di Kampung Tanjung Maya, Daerah Tutong, pada 20 April lalu.

    Dalam perjanjian berkenaan, syarikat berkenaan dibenarkan untuk mengenakan yuran pelupusan mengikut saiz tayar kepada mana-mana pihak yang menghantar tayar terpakai ke fasiliti tersebut untuk dilupuskan.

    Oleh yang demikian, adalah kurang tepat untuk menganggap bahawa bayaran $1 bagi setiap tayar terpakai akan dikenakan secara menyeluruh kepada orang ramai atau pelanggan.

    Adalah dijelaskan bahawa yuran berkenaan adalah bagi mana-mana kedai tayar, bengkel kenderaan mahupun orang ramai yang menghantar tayar terpakai mereka untuk dilupuskan di fasiliti kepunyaan Kehasan (B) Sdn Bhd, yang mana kadar yuran berkenaan adalah dikawal oleh pihak kerajaan.

    Kenyataan turut mengongsikan lanjut bahawa tayar-tayar terpakai yang dihantar di fasiliti tersebut adalah dilupuskan secara mesra alam iaitu dengan menggunakan teknologi pirolisis yang mampu mengitar semula tayar-tayar terpakai tersebut dengan tidak menjejaskan alam persekitaran untuk menghasilkan bahan utama iaitu minyak bahan api yang boleh digunakan dalam aktiviti pembakaran, dan produk sampingan yang boleh dikitar semula dengan lebih lanjut iaitu wayar-wayar keluli dan produk karbon hitam.

    Ini merupakan satu strategi pihak kerajaan untuk mengukuhkan lagi usaha negara bagi mencapai matlamat untuk memiliki dan mengekalkan alam sekitar yang berdaya tahan.

    Gambar yang tular di media sosial bersama mesej berkenaan. – Gambar serahan JASTRe
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...