Mesej tular kerosakan Jambatan SHOAS tidak benar

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 SEPT – Autoriti Jambatan Brunei, Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Pembangunan memaklumkan bahawa tidak ada sebarang kerosakan dikesan di Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien (SHOAS) sepertimana yang tular menerusi aplikasi WhatsApp dan sosial media yang mengatakan bahawa ada kerosakan pada struktur salah satu tiang jambatan berkenaan.

Dalam hal ini, JKR mengingatkan orang ramai bahawa perbuatan menyebarkan maklumat yang tidak benar, apatah lagi palsu dan direka oleh mereka yang semata-mata berniat untuk mengelirukan menjadi kesalahan dan boleh dilaporkan di bawah perundangan Akta Ketenteraman Awam, Penggal 148 Seksyen 34, iaitu sesiapa yang sama ada menggunakan lisan atau tulisan atau menggunakan sebarang cara, menyebarkan laporan yang salah atau membuat kenyataan yang salah, yang menyebabkan ketenteraman awam terganggu boleh dihukum penjara tiga tahun dan denda sebanyak $3,000.

Pihak Autoriti Jambatan Brunei mengucapkan ribuan terima kasih atas maklumat orang ramai mengenainya.

Untuk sebarang pertanyaan atau aduan, orang ramai boleh menghubungi pihak jabatan melalui Talian Darussalam 123, livechat Talian Darussalam 123 (8333123) dan e-mel kepada [email protected] atau [email protected]

JKR kelmarin mengeluarkan kenyataan bahawa tiada kerosakan berlaku di jambatan tersebut seperti yang ditularkan di media sosial. – Gambar fail Jambatan SHOAS