Mesej tular pegawai laksana banci tidak sahih

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 NOV – Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), dalam kenyataan yang dikeluarkan, di sini, hari ini, menegaskan bahawa mesej yang tular melalui aplikasi WhatsApp berkaitan dengan kenyataan terdapat satu kumpulan yang pergi dari rumah ke rumah sebagai pegawai-pegawai dari KHEDN bagi tujuan melaksanakan banci yang akan datang, adalah sama sekali tidak benar.

    Dalam pada itu, pihak KHEDN sedang bekerjasama dengan agensi-agensi penguatkuasan yang berkenaan di negara ini bagi mengambil tindakan ke atas pihak-pihak atau individu-individu tertentu berkaitan perkara berkenaan.

    KHEDN dalam kenyataannya lagi, ingin menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dan percaya dengan maklumat yang disebarkan melalui mana-mana aplikasi media sosial tanpa memastikan kesahihan maklumat yang disebarkan terlebih dahulu.

    Di samping itu juga, KHEDN memohon mana-mana individu yang menerima mesej tular berkenaan supaya menghentikan penyebarannya kerana boleh mengelirukan orang awam.

    KHEDN ingin mengingatkan bahawa menyebarkan maklumat palsu dan tidak sahih kepada orang awam merupakan satu kesalahan yang boleh didakwa di bawah undang-undang Negara Brunei Darussalam menurut Seksyen 34 Akta Ketenteraman Awam Penggal 148 yang boleh dikenakan denda $3,000 dan hukuman penjara sehingga tempoh tiga tahun, jika sabit kesalahan.