Mesej tular tarikh pembukaan jambatan tidak benar

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 NOV – Mesej dan foto tular menerusi platform-platform media sosial yang melibatkan dakwaan bahawa projek Jambatan Brunei-Temburong akan dibuka kepada orang ramai pada 8 atau 10 Disember 2019 atau 1 Januari 2020 atau 15 Julai 2020 adalah tidak benar dan tidak berasas.

Kementerian Pembangunan dalam kenyataannya, hari ini, menjelaskan bahawa kemajuan projek Jambatan Brunei-Temburong setakat ini telah mencapai 97 peratus dan kontrak-kontrak pakej dijangka akan selesai pada penghujung tahun ini. Kenyataan menambah, pemeriksaan bersama autoriti kerajaan yang terlibat dalam kerja-kerja penyiapan akan dilaksanakan bagi memastikan kerja-kerja tersebut siap sepenuhnya dan disahkan bahawa ianya memuaskan mengikut piawaian yang ditetapkan sebelum jambatan ini selamat untuk beroperasi sepenuhnya.

Oleh yang demikian, Kementerian Pembangunan menjelaskan tarikh pembukaan rasmi jambatan masih lagi dalam perancangan dan akan diumumkan apabila ada ketetapan tarikh yang bersesuaian.

Oleh itu, kementerian berkenaan turut menasihatkan orang ramai untuk tidak mempercayai sebarang maklumat yang tidak disahkan yang disebarkan menerusi aplikasi-aplikasi media sosial.

Kementerian Pembangunan juga mengingatkan bahawa menyebarkan maklumat palsu dan tidak berasas kepada orang ramai adalah satu kesalahan di bawah perundangan Akta Ketenteraman Awam, Penggal 148, Seksyen 34 yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda $3,000 jika didapati bersalah.