Mesin ATM beroperasi 8 pagi hingga 8 malam

PUTRAJAYA, 19 APRIL – Waktu operasi mesin pengeluaran wang automatik (ATM) kini dihadkan dari 8 pagi hingga 8 malam bagi mengawal pergerakan orang ramai sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata berdasarkan laporan Polis Diraja Malaysia (PDRM), ramai orang memberi alasan ingin mengeluarkan wang di mesin ATM 24 jam untuk keluar dari rumah termasuk ketika lewat malam.

“Ramai yang keluar lebih daripada waktu ditetapkan sehingga tengah malam pun masih ada yang keluar kononnya ada kecemasan untuk keluarkan wang dan sebagainya. Jadi, operasi mesin ATM dihadkan dari 8 pagi hingga 8 malam sahaja.

“(Selepas ini) tidak ada alasan lagi untuk keluar sehingga tengah malam untuk keluarkan wang di mesin ATM,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat khas Jwatankuasa Menteri-Menteri Mengenai PKP, di Perdana Putra, di sini hari ini. – Bernama