Mesin pendingin untuk makmal virologi

Oleh Sim Y. H.

Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 MAC – Dalam usaha untuk memberikan sokongan kepada Kementerian Kesihatan yang menangani penularan wabak COVID-19, pihak swasta dan orang ramai tidak ketinggalan untuk menghulurkan sumbangan serta bantuan dalam sama-sama menangani wabak yang melanda negara pada masa ini.

Sehubungan dengan itu, Borneo United Enterprise Sdn Bhd menyumbangkan sebuah mesin pendingin untuk Makmal Virologi, Jabatan Perkhidmatan Makmal, Kementerian Kesihatan yang disampaikan dalam majlis yang berlangsung di Makmal Virologi, Sumbiling, hari ini.

Pada majlis berkenaan, sumbangan disampaikan oleh Penolong Pengurus Borneo United, Haji Mohammad Ismadini bin Dato Haji Mohd Yussop kepada Ketua Makmal Rujukan Virologi Kebangsaan, Dr Zainur Zaini.

Menurut Haji Mohammad Ismadini, sumbangan itu merupakan salah satu inisiatif tanggungjawab sosial korporat syarikat dalam sama-sama mengalas tanggungjawab serta memberikan sokongan kepada usaha kerajaan menangani wabak COVID-19.

Beliau juga berharap sumbangan dapat menjadi suntikan semangat kepada petugas barisan hadapan di mana masyarakat tetap memberikan sokongan serta penghargaan atas pengorbanan tenaga dan masa mereka bagi menangani COVID-19.

Menerusi sumbangan yang dihulurkan itu, beliau turut berharap ia mampu menggalakkan lebih banyak pihak untuk menghulurkan sumbangan dalam sama-sama memainkan peranan ke arah menangani penularan wabak berkenaan.

Haji Mohammad Ismadini menyerahkan sumbangan kepada Dr Zainur.