Mesin pergerakan automatik dilancar di lapangan terbang

TOKYO, 8 JUN – Satu sistem pergerakan automatik yang berfungsi seperti sebuah kerusi roda tanpa seseorang menolak ketika ia bergerak di sekitar lapangan terbang Tokyo telah dilancarkan untuk membantu penjarakan sosial di tengah pandemik koronavirus.

Mesin pergerakan peribadi itu menempatkan seorang dan beroperasi sendiri tanpa berlanggar, walaupun apabila orang meluru keluar secara tiba-tiba, sejauh 600 meter di laluan yang telah pun diprogram awal di Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda, kata WHILL, syarikat di sebalik teknologi itu hari ini.

Ketua Eksekutif WHILL, Satoshi Sugie berkata teknologi pemanduan robotik dan automatik yang mengurangkan keperluan tenaga manusia merupakan penyelesaian yang sesuai pada masa ini apabila ‘hidup’ dengan koronavirus.

“Kami sedang mengembangkan perniagaan kami demi membantu memulihkan dunia di mana orang boleh bergerak atau berjalan dengan tenang,” beritahunya kepada The Associated Press.

Perjalanan mengambil masa beberapa minit, bergerak dari pusat keselamatan ke pintu pelepasan pada kelajuan maksimum 3.5 kilometer sejam. Namun timbulnya harapan tinggi teknologi itu, yang menggunakan sensor dan kamera, boleh membantu di tempat lain, seperti hospital, taman dan pusat membeli-belah. Kekurangan pekerja merupakan satu masalah di Jepun, serta negara lain.

Ujian telah pun dijalankan di pelbagai lapangan terbang sejak tahun lalu, termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa John F. Kennedy di New York, dan syarikat berharap dapat memperkenalkannya di lapangan terbang di seluruh dunia.

Orang yang menggunakan mesin itu boleh memulakan atau menghentikannya menerusi pengawal tablet. Ia beroperasi menggunakan bateri litium-ion dan kembali secara automatik ke tempat ia bermula.

Sesiapa yang memerlukan bantuan berjalan jauh boleh menggunakannya di Terminal Satu di Haneda, untuk apa yang dirujuknya sebagai ‘pergerakan perbatuan terakhir,’ menurut WHILL, berpangkalan di Yokohama, Jepun.

Walaupun pembersih vakum, mesin membawa barang dan robot bercakap telah pun bergerak di lapangan terbang dan tempat lain, pergerakan peribadi yang beroperasi secara automatik masih jarang dilihat di tempat awam. – AP

Gambar dikeluarkan WHILL, Inc menunjukkan percubaan Sistem Pemanduan Automatik syarikat tersebut di Lapangan Terbang Haneda di Tokyo. – AP