Mesin PET-CT imbas imej jantung lebih tepat

Oleh Norhayati Mohd Akhir

KUALA LUMPUR – Institut Jantung Negara (IJN) kini mempunyai mesin pengimbas PET (positron emission tomography) Tomografi Berkomputer (CT) atau PET-CT untuk membolehkan pesakit mendapatkan resolusi tepat jantung.

Menurut perunding kardiologi IJN, Datuk Dr Ahmad Khairuddin Mohamed Yusof, mesin berkenaan adalah sumbangan Permodalan Nasional Bhd (PNB) di bawah program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikat pelaburan berkaitan kerajaan itu.

“Kerjasama terjalin lagi dengan PNB sehingga membolehkan IJN memiliki mesin pengimbas PET-CT yang dapat menjana imej yang lebih tepat dan lebih mendalam ke atas organ yang disasarkan.

“Dalam hal ini IJN sudah tentu mahu menawarkan rawatan berkualiti tinggi dengan harga yang kompetetif,” kata Dr Ahmad Khairuddin dalam wawancara  eksklusif dengan Bernama baru-baru ini.

Faedah kepada pesakit

Bagi mereka yang menghidap penyakit jantung atau kardiovaskular (CVD) , sudah pasti pernah melalui pelbagai prosedur rawatan sebelum menjalani pembedahan bagi tujuan pemulihan selain menyelamatkan nyawa.

Institut Jantung Negara (IJN) melancarkan Pusat Perkhidmatan Pengimejan yang pertama pada Ogos lalu akan menggunakan teknologi terbaru dalam perubatan pesakit jantung ‘Positron Emission Tomography’ (PET). – Bernama
Pakar Perundingan Kardiologi Institut Jantung Negara (IJN) dan Ketua Jabatan Pusat Pengimejan IJN, Datuk Dr Ahmad Kahiruddin Mohamed ketika ditemu bual khas bersama BERNAMA di Institut Jantung Negara, baru-baru ini. – Bernama
Institut Jantung Negara Malaysia. – Agensi

Mereka mungkin pernah melalui kaedah pengimejan seperti X-ray atau Imbasan Magnetik Resonan (MRI) bagi mendapatkan gambaran struktur dalaman jantung sebelum doktor mencadangkan jenis rawatan yang sesuai kepada pesakit.

Dengan adanya mesin pengimbas PET-CT ini, mereka sudah tentu mempunyai alternatif untuk pemeriksaan berkenaan. IJN pula mampu menawarkan harga untuk pengimejan yang akan dapat menyaingi harga di tempat lain yang sudah tentunya memberi manfaat besar kepada pesakit.

“Kerjasama dengan PNB ini membolehkan IJN memiliki teknologi terkini dari luar negara. Kami menerima mesin pengimbas ini Ogos lepas dan ia kini sedia untuk digunakan pesakit,” kata Dr Ahmad Khairuddin sambil menambah bahawa kerjasama dengan PNB itu juga itu bukan sekadar membawa masuk teknologi baharu malah berjaya mewujudkan Pusat Pengimejan yang menempatkan perkhidmatan PET-CT itu.

PNB tidak asing bagi IJN memandangkan kedua-dua pihak pernah menjalin kerjasama sebelum ini untuk pembinaan pusat perubatan jantung yang pertama di luar Lembah Klang iaitu di Taman Perling, Johor.

Memorandum persefahaman untuk projek berkenaan ditandatangani pada 2017 dan pembinaan dijangka bermula pada 2019. Pusat perubatan jantung yang terletak di kawasan seluas 1.01 hektar itu dijangka siap dalam tempoh tiga hingga empat tahun.

Prosedur PET-CT

Dengan kos sekitar RM3,600 bagi setiap sesi, pesakit boleh mendapatkan resolusi tepat jantung dengan PET-CT. Mesin pengimbas ini juga berupaya mengesan tumor dan kanser berbahaya dengan kos sebanyak RM3,000 bagi setiap sesi.

Mengulas mengenai prosedur PET-CT, Dr Ahmad Khairuddin berkata pesakit perlu melalui beberapa prosedur persediaan sebelum berada di dalam mesin pengimbas yang mengambil masa antara 15 hingga 20 minit.

“Mula-mula kita bagi pesakit minum glukos. Selepas itu, apabila badan sudah ada kandungan gula, kita akan suntik insulin untuk pastikan organ dalam badan (jantung) ambil banyak gula dan pada masa itu kita suntik radioisotop yang akan masuk ke organ yang kita mahu.

“Ia akan alami proses pereputan di kawasan organ yang kita mahu iaitu jantung. Ia memudahkan kamera PET-CT untuk kenalpasti dan rakam pancaran gama yang terhasil apabila bahan radioaktif itu reput,” ​​​​​katanya yang berkhidmat di IJN selama 17 tahun.

Imej yang dikesan kamera mesin pengimbas itu akan diproses menggunakan sistem komputer khas yang sangat canggih dan pantas, kata Dr Ahmad Khairuddin. Menurut beliau, imbasan imej yang dihasilkan PET-CT itu adalah lebih pantas dan berkualiti tinggi yang berupaya membantu meningkatkan ketepatan diagnosis oleh doktor sebelum mencadangkan kaedah rawatan bersesuaian kepada pesakit.

“Dengan adanya penilaian tepat, rawatan sesuai dan berkesan boleh dimulakan, ia mudahkan doktor untuk bantu pesakit,” katanya yang juga Ketua Pusat Pengimejan itu.

Kelebihan PET-CT

Berkongsi kelebihan mesin pengimbas baharu itu, Dr Ahmad Khairuddin berkata PET-CT merupakan salah satu kaedah teknologi tinggi dan serba canggih dalam bidang perubatan yang mempunyai ketepatan pengesanan imej antara 95 hingga 98 peratus.

“Dengan adanya pengimbas PET-CT, kita boleh berbincang dengan pesakit selepas menjalani imbasan ini sama ada mereka perlu menjalani prosedur angioplasti, iaitu proses meletakkan ‘stent’ di saluran arteri konorari jantung atau pembedahan pintasan jantung,” kata pakar jantung itu lagi.

Beliau berkata perbincangan antara doktor dan pesakit adalah sangat penting bagi mendapatkan maklumat berkenaan mengenai penyakit yang dihidapi. Pesakit perlu membuat persediaan sebelum menjalani sebarang kaedah perubatan yang dicadangkan doktor setelah mendapat persetujuan daripada pesakit itu sendiri, jelasnya.

Jelas Dr Ahmad Khairuddin, dengan adanya mesin pengimbas itu, IJN bukan sahaja menjadi pusat rujukan untuk penyakit kardiovaskular, malah melibatkan juga tumor dan kanser. – Bernama