Mesin tukar botol dengan tunai diterima baik

GUAYAQUIL, 22 OGOS – Menjaga alam sekitar adalah sesuatu yang berbaloi di Ecuador, sekurang-kurangnya bagi pengguna pengangkutan awam di hab perniagaan Guayaquil.

Satu skim baharu bertujuan untuk menangani sampah dan pencemaran membolehkan orang ramai menukar botol plastik kitar semula dengan wang bagi membeli tiket bas.

Bandar pelabuhan di barat daya Ecuador itu, merupakan bandar kedua paling padat dengan penduduknya seramai 2.7 juta, tetapi ia menjana sampah paling banyak.

Para penumpang yang menggunakan sistem transit bas bandar tersebut, Metrovia, kini mula berbaris di depan sebuah mesin yang baru dipasang, menunggu untuk memasukkan botol plastik mereka bagi mendapatkan 0.02 sen setiap satu, yang boleh mereka belanjakan bagi kegunaan pengangkutan awam.

“Bayangkan 0.02 sen sebotol, jika 15 botol anda mendapat 30 sen, itu sudah cukup untuk membeli tiket Metrovia,” kata seorang penumpang bas, Cristian Cardenas.

Ia terbukti lebih menguntungkan berbanding menjual botol-botol itu ke pusat kitar semula, menurut Washington Bravo kepada AFP.

Pesara berusia 76 tahun itu tinggal di luar Guayaquil, dengan kos AS$9 menggunakan teksi ke bandar tersebut. Dia berjalan sekali seminggu bagi mengumpul botol-botol plastik dari tong sampah dan di jalan-jalan.

Guayaquil menghasilkan 4,200 tan sisa buangan sehari, hanya 14 peratus dikitar semula.

“Bandar ini penuh dengan rasuah dan kotor. Sebelum ini ia tidak begini, ia lebih bersih,” katanya. – AFP