Mesir bakal pindah pusat pemerintahan

SHARM EL-SHEIKH, 17 DIS – Presiden Mesir Abdel-Fattah al-Sisi, kelmarin berkata ibu pejabat kerajaan akan dipindahkan ke Ibu Kota Pentadbiran Baharu pada 2020 dan kerajaan akan menggunakan sistem moden untuk mengurangkan kesilapan manusia, lapor agensi berita China Xinhua.

“Kami telah memastikan bahawa semua teknologi dan aplikasi AI yang relevan dimasukkan ke dalam proses pendigitalan semua perkhidmatan kerajaan Mesir,” kata al-Sisi semasa perbincangan bertajuk “Kecerdasan Buatan (AI) dan Manusia: Siapa yang berkuasa?”

Perbincangan itu adalah sebahagian daripada edisi ke-3 Forum Belia Dunia yang di-rasmikan pada Sabtu lepas di bandar peranginan Laut Merah iaitu Sharm El-Sheikh.

Mesir ketika ini membina sebuah bandar pentadbiran baharu yang meliputi kawasan seluas 714 kilometer persegi, kira-kira 45 kilometer di timur ibu kota Kaherah.

Bandar itu akan menempatkan kebanyakan bangunan kerajaan termasuk 29 kementerian, kabinet dan parlimen serta 20 kawasan kediaman yang boleh menampung sehingga 6.5 juta penduduk, hotel mewah, pusat beli-belah, taman dan venue lain.

“Penggunaan AI menyediakan peluang besar dalam menangani kesilapan manusia dan menjimatkan masa,” kata al-Sisi sambil menambah ia juga merupakan peluang yang besar untuk mengurangkan gejala rasuah.

“Saya berjanji kepada rakyat Mesir, negara-negara Afrika dan negara lain yang ingin menyertai kami bahawa kami akan membuka universiti generasi baharu pada musim persekolahan akan datang dengan semua sains yang anda perkatakan hari ini,” katanya. – Bernama