JOHANNESBURG, 28 MAC – Jurulatih Mesir Carlos Queiroz berkata pasukannya ‘akan bertahan dengan 16 pemain’ apabila mereka mengekalkan pendahuluan 1-0 ke atas Senegal pada Selasa dalam pusingan kedua aksi playoff Piala Dunia.
“Apa yang saya maksudkan dengan 16 pemain adalah setiap seorang mesti menyumbang usaha dua pemain, bukan seorang pemain,” kata bekas pengurus Real Madrid kelahiran Mozambique dan penolong pengurus Manchester United sebanyak dua kali itu.
“Kami berhak memenangi pusingan pertama menentang pasukan terbaik di Afrika dan kini kami akan mengunjungi Senegal untuk bertarung untuk setiap ruang, setiap bola. Setiap pemain Mesir mesti menggandakan usaha mereka.”
Aksi playoff yang menyaksikan pertarungan di antara bintang Liverpool Mohamed Salah dari Mesir dan Sadio Mane dari Senegal merupakan ulangan perlawanan final Piala Negara Afrika baru-baru ini, yang dimenangi Senegal berdasarkan penalti selepas terikat seri 0-0.
Jurulatih Senegal Aliou Cisse berkata dia tidak mahu melihat penyokong memakai sut di Stade du Senegal yang baru siap berhampiran Dakar apabila mereka berdepan Mesir.
“Kami memerlukan lebih banyak fanatisisme apabila ia membabitkan sokongan pasukan kebangsaan kami, seperti yang mereka lakukan di Mesir dan negara Afrika utara lain,” katanya. – AFP
