Mesir buka dua piramid lama

DAHSHUR, MESIR, 14 JULAI – Mesir semalam membuka dua piramid lama di selatan ibu negara Kaherah dan melancarkan satu koleksi keranda batu yang baru ditemui, ada di antaranya mengandungi mumia yang diawet dengan baik.

Menteri Barang Purba, Khaled al-Anani memberitahu wartawan Piramid Raja Sneferu Bent, firaun pertama dinasti ke-4 Mesir, dan pyramid berhampiran akan dibuka semula kepada pelawat untuk kali pertama sejak 1965.

Beliau juga berkata sekumpulan ahli arkeologi telah menemui keranda batu dan tinggalan tembok lama yang wujud sejak Kerajaan Pertengahan kira-kira 4,000 tahun lalu.

Penemuan dilakukan ketika kerja-kerja penggalian di nekropolis diraja Dahshur di tebing barat Sungai Nil, di satu kawasan yang menjadi tempat terletak beberapa piramid paling lama di Mesir.

“Sesetengah keranda batu, tanah liat dan kayu ditemui dan sesetengah mumia berada dalam keadaan baik,” kata kementerian barang purba dalam kenyataan.

Tembok lama merentangi kira-kira 60 meter dan terletak di selatan piramid firaun abad ke-12 Raja Amenemhat II, juga di nekropolis Dahshur.

Mesir dalam beberapa tahun ini berusaha mempromosi penemuan arkeologi di seluruh negara dalam usaha untuk memulihkan pelancongan, yang terjejas akibat krisis yang menyusuli pemberontakan 2011. – AFP

Sebuah keranda batu, sebahagian daripada penemuan yang dijalankan hampir 300 meter di selatan piramid Raja Amenemhat II di nekropolis Dahshur, terdedah berhampiran Piramid Bent, kira-kira 40km ke selatan ibu negara Mesir Kaherah pada 13 Julai. – AFP