Mesir cipta sejarah, meski tewas

VOLGOGRAD, Rusia, 26 Jun – Penjaga gol Mesir, Essam El Hadary berjaya menyelamatkan sepakan penalti selepas menjadi pemain tertua yang muncul pada Piala Dunia semalam tetapi ia masih tidak cukup untuk menghalang Mesir daripada tewas 2-1 kepada Arab Saudi.

Penjaga gol berusia 45 tahun itu, merebahkan badannya ke sudut kanan untuk menafikan sepakan penalti minit ke-39 menerusi Fahad Al Muwallad di Volgogard Arena.

“Saya merasa gembira,” dia memberitahu AFP selepas perlawanan. “Saya adalah orang yang paling gembira dalam dunia untuk mencatatkan rekod ini.”

Tetapi kegembiraan El Hadary terhenti selepas Arab Saudi kembali bangkit membatalkan gol pembukaan Mohamed Salah untuk kemenangan sagu hati.

Dua jaringan Arab Saudi pada minit akhir setiap separuh masa, dengan Salem Al-Dawsari mengesahkan kemenangan pertama Piala Dunia mereka sejak mara ke pusingan 16 pada 1994.

Penjaga gol Mesir, Essam El Hadary menafikan satu potensi serangan dengan menangkap bola dengan kemas dalam saingan Kumpulan antara Mesir dan Arab Saudi. – AP

“Saya boleh berterima kasih kepada rakan sepasukan saya kerana mereka adalah tenaga yang membawa saya kepada rekod tersebut tetapi pada satu kedudukan lain, saya kecewa dengan keputusan itu,” tambah El Hadary.

Mesir masih belum mencatatkan sebarang kemenangan dalam persaingan Piala Dunia dalam tiga kemunculan.

El Hadary berusia 45 tahun dan 161 hari ketika turun beraksi pada perlawanan tersebut, di mana kedua-dua pasukan sudah tersingkir dalam perlawanan Kumpulan A. Dia memecahkan rekod usia yang dicatatkan oleh penjaga gol Colombia, Faryd Mondragon, yang berusia 43 tahun dan tiga hari apabila beraksi menentang Jepun di Brazil pada tahun 2014.

Salah dinamakan dalam barisan utama seperti yang dijangka dan menggembirakan penyokong Mesir seramai 36,823 dengan menjaringkan gol pembukaan selepas minit ke 22. – AFP