Mesir ‘hidup’ tanpa Salah

JOHANNESBURG, 14 JUN – Tuan rumah Piala Negara-Negara Afrika, Mesir merehatkan bintang utamanya, Mohamed Salah ketika menundukkan Tanzania 1-0, semalam pada aksi pemanas badan menjelang kejohanan berkenaan yang dijadual membuka tirai 21 Jun ini.

Tanpa penyerang prolifik Liverpool itu yang direhatkan di bangku simpanan di Alexandria, jaringan kemenangan Mesir diperoleh menerusi pertahanan tengah, Ahmed Elmohamady pada minit ke-65 berpunca sepakan sudut.

Elmohamady yang memiliki 85 penampilan bersama Mesir dijangka bertemu Salah di kempen Liga Perdana musim depan selepas kelabnya, Aston Villa dinaikkan pangkat ke saingan berkenaan musim lalu.

Juara tujuh kali, Mesir mendominasi permainan tetapi tampak belum serasi menentang Tanzania, yang kembali beraksi di Piala Negara-Negara Afrika selepas 39 tahun.

Mesir yang dianggap calon pilihan kejohanan dijadual menentang Zimbabwe pada aksi pembukaan di Kaherah dan turut diundi bersama Republik Demokratik Congo dan Uganda dalam Kumpulan A.

Lawan mereka berikutnya bagi aksi persahabatan selepas ini ialah Guinea, Ahad ini.

Tanzania pula dilatih bekas pemenang Piala Negara-Negara Afrika 1994 dari Nigeria, Emmanuel Amunike dan diundi bersama Algeria, Senegal dan Kenya dalam Kumpulan C. – AFP

Jaringan kemenangan Mesir diperoleh menerusi pertahanan tengah, Ahmed Elmohamady, meskipun Mesir merehatkan bintang utamanya, Mohamed Salah ketika menundukkan Tanzania 1-0 kelmarin. – AFP