MOSCOW, 12 JUN – Presiden Mesir Abdel Fattah Sisi, Raja Jordan Abdullah II dan Presiden Palestin Mahmoud Abbas pada kelmarin mendesak masyarakat antarabangsa untuk memberi tekanan maksimum ke atas Israel bagi menghentikan operasi ketenteraannya di Semenanjung Gaza.
Para pemimpin itu mengadakan sidang kemuncak tiga pihak (tripartite) di luar persidangan ‘Call for Action: Urgent Humanitarian Response for Gaza’ yang diadakan di Jordan, lapor Sputnik memetik kenyataan pejabat Presiden Sisi.
Mereka juga menyeru penyatuan usaha antarabangsa untuk mencapai penyelesaian dua negara dan menyeluruh bagi isu Palestin, menurut kenyataan itu.
Menteri Luar Jordan Ayman Safadi memberitahu sidang kemuncak itu bahawa Israel melakukan jenayah perang di Semenanjung Gaza yang belum pernah disaksikan sejak beberapa dekad.
Keganasan Israel terhadap Gaza mesti dihentikan serta-merta, kata Safadi.
Menurut pihak berkuasa tempatan, lebih 37,000 orang telah terbunuh akibat serangan Israel di Semenanjung Gaza setakat ini. – Bernama