Mesir pengeksport buah oren terbesar di dunia

BEHEIRA – Meskipun seluruh dunia masih dihantui dengan wabak COVID-19, beberapa buah negara cuba bangkit daripada kemerosotan ekonomi negara mereka ke arah tahap yang lebih stabil.

Mesir sebuah negara terkaya di dunia tidak terkecuali terjejas ekonominya berikutan penularan wabak COVID-19. Ini kerana ketika Mesir masih di bawah arahan perintah berkurung, banyak tempat seperti pejabat, gedung membeli-belah dan sebagainya terpaksa ditutup bagi membendung penularan wabak. Namun setelah adanya pelonggaran sekatan pergerakan, Mesir cuba memulihkan keadaan ekonomi mereka sebagaimana negara-negara lain.

Mesir baru-baru ini mengumumkan statusnya sebagai pengeksport buah oren terbesar di dunia, setelah ladang sitrus berkembang maju di negara itu semenjak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Buah oren Mesir telah mencapai sebahagian besar pasaran dunia kerana Mesir kini menduduki tempat pertama di seluruh dunia dalam mengeksport buah oren, melebihi Sepanyol yang menjadi pemimpin dalam beberapa tahun kebelakangan ini,” kata Ahmed al-Attar, ketua Pentadbiran Pusat Kuarantin Tumbuhan (CAPQ) yang dimiliki oleh Kementerian Pertanian Mesir.

Sejak awal tahun 2020, Mesir telah mengeksport 1.3 juta tan buah oren di tengah permintaan yang semakin meningkat untuk produk pertanian Mesir, eksportnya telah mencapai 2.2 juta tan sejak bulan Januari walaupun wabak COVID-19 merebak secara global, menurut kenyataan baru-baru ini oleh CAPQ.

Selepas penyaringan tahap kedua, buah oren akan melalui penyusunan elektronik untuk memisahkannya secara automatik mengikut ukuran, warna dan rupa buah.
– Xinhua
Gambar bertarikh 2 Mei 2020, menunjukkan seorang lelaki menuai buah oren di kebun sitrus di wilayah Beheira, Mesir. – Xinhua
Selepas proses penuaian, buah oren akan dibawa ke tempat pembungkusan untuk disusun awal, dicuci dan dikeringkan. – Xinhua
Gambar bertarikh 2 Mei 2020, menunjukkan seorang pekerja menimbang buah oren di tempat pembungkusan. – Xinhua

Di salah sebuah ladang Pertanian Maghrabi (MAFA), kebun terbesar di Mesir dan mungkin di dunia, Samy al-Sayyid, pengurus jabatan perkhidmatan pengeksport CAPQ, sedang mengawasi tahap pemprosesan sitrus dari penuaian hingga pembungkusan dan pemuatan untuk eksport.

“Pemeriksa CAPQ hadir sepanjang hari di ladang sitrus untuk pengawasan. Mereka juga hadir di pelabuhan laut, udara atau darat untuk menyelesaikan prosedur eksport tanpa penangguhan,” kata pegawai CAPQ kepada media di tempat pembungkusan MAFA.

Sayyid menunjukkan bahawa hampir 100,000 tan buah oren telah dieksport ke China tahun ini.

MAFA terbentang dari kawasan gurun yang luas di Wilayah Beheira di utara ibu kota Mesir, Kaherah, dengan deretan pohon sitrus yang bersinar dengan buah-buahan emas yang menunggu untuk dituai dan dihantar ke kemudahan pembungkusan untuk disiapkan bagi pengiriman ke Arab, Afrika, Barat atau negara-negara Asia.

Sherif el-Maghraby, ketua MAFA, mengatakan bahawa syarikatnya mengeksport antara 100,000 dan 115,000 tan produk pertanian setiap tahun ke sekitar 142 rangkaian pasar raya di 57 negara di seluruh dunia.

“Kami mengeksport antara 60,000 dan 85,000 tan sitrus setiap tahun, dengan tujuh hingga 10 persen ke China. Tetapi dalam rancangan masa depan kami, China akan menjadi destinasi utama eksport kami kerana pasarannya yang besar dan lumayan,” kata ketua MAFA kepada media.

MAFA telah mengeksport sitrus ke China selama 12 tahun, kata Maghraby, sambil menambah bahawa dia adalah anggota delegasi yang mengunjungi China sekitar 20 tahun yang lalu untuk merundingkan pembukaan pasaran China untuk sitrus Mesir.

MAFA mempunyai lebih daripada 2,000 pekerja sepenuh masa, serta 2,000 hingga 4,700 pekerja harian setiap tahun mengikut musim.

Di sebuah ladang MAFA, pekerja telah menuai pokok sitrus dengan jarak sekurang-kurangnya dua meter di antara mereka.

“Kami hanya membenarkan seorang pekerja untuk setiap pokok untuk menjaga jarak sosial. Kami juga memastikan bahawa buahnya bersih dan kotaknya tidak terlalu penuh dengan buah oren agar tidak terperah atau hancur,” kata Ibrahim Abdullah, penyelia pertanian MAFA.

“Buah oren Mesir dicirikan sebagai berkualiti tinggi dan saiz besar, memenuhi semua piawaian dan spesifikasi eksport,” tambah Abdullah, yang telah bekerja di MAFA selama lebih kurang 20 tahun.

Setelah dituai, buah oren dihantar ke tempat pembungkusan untuk disusun awal, dicuci dan dikeringkan. Kemudian, ia melalui tahap menyusun secara manual kali kedua sebelum melalui penyusunan elektronik untuk memisahkannya secara automatik mengikut ukuran, warna dan rupanya.

Akhirnya,buah oren akan meneruskan perjalanan proses menggunakan penghantar sehingga dibungkus secara manual.  Setiap 30 minit di dalam tempat pembungkusan MAFA, seorang wanita yang membawa gel pembasmi kuman datang dan menyemburkan tangan setiap pekerja yang semuanya memakai penutup mulut dan hidung.

Ahmed al-Saeedy, yang bertugas melatih pekerja MAFA, mengatakan bahawa dia melatih mereka untuk menjaga kebersihan dan keselamatan yang berterusan, terutama semasa wabak COVID-19.

“Kami memerintahkan para pekerja untuk memakai penutup mulut dan hidung serta menggunakan gel pembasmi kuman di tangan dan kaki mereka sebelum masuk ke dalam tempat pembungkusan. Tambahan pula, sesiapa sahaja yang melalui pintu ladang, sama ada pekerja atau pelawat, harus disemburkan pembasmi kuman sebelum masuk,” lelaki berusia tahun itu memberitahu media. – Xinhua