Monday, December 16, 2024
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mesir rasmi loji tenaga solar AS$500 juta di Aswan

    MESIR, 15 DIS – Perdana Menteri Mesir, Mostafa Madbouly kelmarin merasmikan loji tenaga solar bernilai AS$500 juta di bandar selatan Aswan sebagai sebahagian daripada usaha negara itu meningkatkan pengeluaran tenaga boleh diperbaharui, lapor Xinhua.

    “Ia adalah langkah penting dalam mempromosikan tenaga boleh diperbaharui dan mencerminkan komitmen mendalam kami terhadap visi masa depan yang bertujuan mencapai kelestarian alam sekitar dan ekonomi,” kata Madbouly semasa majlis perasmian itu, menurut kenyataan kabinet.

    Loji Abydos Solar PV, dengan kapasiti 500 megawatt, dibangunkan oleh syarikat tenaga berpangkalan di Dubai, AMEA Power. Kontraktor am projek tersebut ialah China Energy Engineering Corporation (Energy China), menurut kenyataan tersebut.

    Pengerusi AMEA Power, Hussain Al Nowais berkata pelaburan bernilai setengah bilion dolar itu dibiayai oleh Perbadanan Kewangan Antarabangsa, Bank Pembangunan Keusahawanan Belanda dan Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun.

    Kenyataan itu menyatakan projek itu melambangkan visi Mesir dalam menyediakan peluang luar biasa kepada sektor swasta asing, Arab dan domestik untuk melabur di negara itu. Loji itu dijangka menjana elektrik untuk 256,000 rumah dan menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon dioksida sebanyak hampir 760 tan setahun, menurut kenyataan berkenaan.

    Selain itu, kerajaan Mesir kelmarin menandatangani perjanjian pembelian tenaga dan tanah dengan AMEA Power untuk projek tenaga angin 500 megawatt di Ras Shukheir, Teluk Suez, dengan pelaburan dianggarkan bernilai US$600 juta. – Bernama

    Gambar Envato
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda