KAHERAH, 8 SEPT – Mesir akan mewujudkan rangka kerja pelesenan untuk platform hiburan digital seperti Netflix yang memerlukan mereka mematuhi nilai sosial negara majoriti Islam itu, kata badan kawal selia.
Pengumuman dibuat lewat kelmarin beberapa hari selepas Arab Saudi dan beberapa negara Teluk meminta Netflix untuk memansuhkan kandungan yang bercanggah dengan nilai sosial Islam.
“Peraturan kawal selia dan pelesenan untuk platform digital seperti Netflix dan Disney+ akan dilaksanakan yang akan merangkumi komitmen mereka untuk menghormati norma dan nilai sosial negara,” kata Majlis Tertinggi bagi Peraturan Media Mesir dalam satu kenyataan.
Majlis berkenaan berikrar untuk mengambil langkah yang perlu sekiranya berlaku penstriman kandungan yang bertentangan dengan nilai masyarakat, tetapi tidak memberikan butiran mengenai sebarang rancangan penguatkuasaan.
Netflix tidak asing dengan kontroversi di Mesir. Pada bulan Januari lalu, pelancaran pertama platform itu dalam penerbitan filem berbahasa Arab, “Ashab wala Aaz”, menyebabkan tindakan undang-undang diambil dan gesaan di parlimen agar diharamkan walaupun filem itu mencapai senarai yang paling banyak ditonton.
Salah satu daripada banyak pembikinan semula drama komedi Itali “Perfetti Sconosciutti” (Perfect Strangers), yang menyentuh topik daripada perzinaan dan seks sebelum berkahwin kepada homoseksual yang dianggap sebagai isu sensitif di Mesir. – AFP
