CHINA – Ketika Li Peisheng dan Hu Xiaochun, dua pekerja akar umbi yang menulis surat kepada Presiden Xi Jinping, menyatakan keazaman mereka untuk menjaga Gunung Huangshan dan membina China yang indah, mereka tidak mengharap sebarang balasan.
Sebaliknya mereka menerima surat jawapan pada 13 Ogos lalu daripada Presiden Xi Jinping, yang juga merupakan setiausaha agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China dan pengerusi Suruhanjaya Tentera Pusat.
Dalam surat itu, Xi memuji atas usaha mereka dan berdedikasi untuk memastikan gunung itu bersih dan menjaga pokok ‘guest-greeting pine’, yang merupakan ciri utama kawasan pemandangan Gunung Huangshan di wilayah Anhui, China Timur.
“Surat itu adalah dorongan besar bukan sahaja untuk saya dan Hu, tetapi juga untuk semua orang biasa seperti kami,” kata Li, pekerja pembersih berusia 48 tahun di Huangshan.
Hu, seorang penjaga pokok ‘guest-greeting pine’ setinggi 10 meter dan berusia 1,300 tahun, berkata dia turut merasa keprihatinan terhadap pekerja-pekerja melalui surat yang dibalas.
Ini adalah tahun ke-23 untuk Li bekerja sebagai tukang cuci yang mengutip sampah di tebing Huangshan. Setiap hari Li dan pasukan pembersihan mendaki gunung dan kemudian menggunakan tali untuk mengakses kawasan di mana sampah telah dibuang.
Li dan pasukan mengumpul sampah dengan memakai tali seperti pendaki gunung dan ia merupakan pekerjaan yang berbahaya dan sukar. Li mendaki tebing kira-kira lima kali sehari. Dengan puncaknya yang mencapai ketinggian 1,864 meter, Gunung Huangshan disenaraikan sebagai warisan budaya dan semula jadi UNESCO serta geopark dunia.
“Walaupun saya tidak mudah berasa takut, namun kali pertama saya membersihkan tebing itu terasa amat mengerikan. Saya tidak dapat mengawal getaran semasa menghadap tebing, yang kira-kira memiliki ketinggian bangunan berpuluh-puluh tingkat,” ingat Li.
Dalam dua dekad yang lalu, usaha Li adalah setara dengan mendaki ketinggian keseluruhan lebih daripada 1,800 kilometer.
Dia telah dianugerahkan gelaran Good Samaritan of China pada tahun 2012. Gelaran itu memberi penghormatan kepada mereka yang melakukan kerja luar biasa dalam kerja mereka. China telah menganugerahkan gelaran pada wira akar umbi ini sejak 2008.
Berbanding dengan pekerjaan berbahaya Li, kerja Hu dilaksanakan dengan cara yang berbeza. Dia adalah penjaga pokok pain yang telah menjadi simbol selamat datang untuk tetamu. Pada tahun 1981, pihak berkuasa di tempat yang indah itu menetapkan kedudukan untuk mengawasi pokok itu.
Hu yang berusia 42 tahun adalah penjaga ke-19 pokok itu. Setiap hari ketika gilirannya, dia memeriksa pokok itu setiap dua jam, sepanjang tahun dan ia adalah tahun ke-12 dia mengawasi pokok pain. Dia memerhati kulit kayu, dahan dan puncak pokok berkenaan.
“Bagi saya, pokok ‘guest-greeting pine’ lebih daripada pokok, tetapi ia seperti ahli keluarga yang harus saya jaga dengan baik,” kata Hu.
Setiap tahun, dia tinggal di gunung berhampiran pokok itu selama lebih daripada 300 hari. Dalam tempoh 12 tahun yang lalu, Hu telah merekodkan keadaan pokok itu dalam lebih 60 buku nota. Dia menulis tentang cuaca, arah angin dan pergerakan serta memantau suhu harian. Selain itu, Hu memeriksa beberapa perkara lain sama ada tali sokongan pokok itu selamat, sistem perlindungan kilatnya teratur, sebarang kesan kerosakan haiwan serta kebimbangan lain. Jika sebarang isu ditemui, Hu segera melaporkannya kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya.
Setelah memerhati pokok itu selama 12 tahun, Hu telah menjadi pakar pokok. Dia tahu cara menangani tanah yang terlalu tepu selepas hujan lebat, bagaimana melindungi pokok daripada kerosakan angin, dan bila perhatian khusus harus diberikan pada pertumbuhan puncak pokok. Tahun lepas, Hu telah dianugerahkan gelaran Good Samaritan of China.
Dalam surat balasan itu, Xi menekankan bahawa aspek yang paling ketara untuk menjadi orang Samaritan yang baik di China ialah orang-orang yang mencapai pencapaian luar biasa dalam kerja biasa.
Xi berkata dia mengharapkan mereka memimpin melalui tindakan sebagai model peranan, memuji yang benar, baik dan indah, menyebarkan tenaga positif, dan memberi inspirasi kepada lebih ramai orang di sekeliling mereka untuk berusaha mencapai kecemerlangan. Sejak 2008, seramai 16,228 orang telah di anugerahkan gelaran ter-sebut. – ANN/The China Daily