‘Meskipun 1, namun jangan iski’

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 DIS – Kepekaan orang ramai dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) menunjukkan kesan positif setakat ini namun semasa peralihan ke Fasa Endemik nanti, jangan terlalu ghairah atau ‘iski’.

Nasihat itu ditekankan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar dalam melahirkan rasa syukur berhubung jumlah kes COVID-19 paling rendah dicatatkan sejak gelombang kedua Ogos lalu, semasa sidang media hari ini.

Ketika menjelaskan mengenai pilihan dos penggalak, Yang Berhormat Dato berkata, negara akan menggunakan vaksin Pfizer, walaupun sebelum ini ada yang menggunakan Moderna tapi pada masa ini Moderna diberikan untuk mereka yang mendapatkan dos kedua.

“Pada masa ini Pfizer digunakan sebagai dos penggalak kerana dapatan mengenai Pfizer di luar negara menunjukkan keberkesanannya selain kita juga mendapat data yang cukup komprehensif melalui Pfizer dan sebab itu kita bersandarkan terhadap penggunaan Pfizer untuk dos penggalak,” jelasnya.