LONDON, 21 Feb – Lionel Messi memecahkan kebuntuan gol dalam sembilan perlawanan berdepan Chelsea, seterusnya memberikan Barcelona kelebihan dalam saingan peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara awal pagi tadi, yang berakhir dengan keputusan seri 1-1 di Stamford Bridge.
Jaringan Willian ketika perlawanan memasuki sejam meletakkan Chelsea di depan selepas dua kali percubaannya terkena tiang pada separuh masa pertama.
Bagaimanapun kealpaan dibahagian pertahanan menyebabkan Chelsea merana apabila Andres Iniesta merampas bola hantaran Andreas Christensen untuk melorongkan bola kepada Messi, yang menyamakan kedudukan buat Barca ketika perlawanan berbaki 15 minit.
Juara Liga Perdana itu kini mesti menjaringkan gol semasa berkunjung ke Camp Nou pada 14 Mac untuk berpeluang mara ke suku akhir.
“Willian mungkin sahaja menghasilkan hatrik, tetapi kami pulang dengan perasaan sedih kerana ia adalah persembahan hebat, bukan keputusan yang hebat,” kata pemain tengah Chelsea, Cesc Fabregas kepada BT Sport.
“Kami perlu pergi ke sana untuk menyerang dan menjaringkan gol kerana bertahan selama 90 minit di Camp Nou adalah misi bunuh diri. Kami perlu bermain dengan gaya kami.”
Pengurus Chelsea, Antonio Conte membuat kejutan sebelum sepak mula apabila tidak menyenaraikan Olivier Giroud dan Alvaro Morata di jentera
serangan, sebaliknya meletakkan Eden Hazard bermain sebagai penyerang tengah, menggunakan formasi tiga penyerang.
Dan Hazard memberi amaran pertama kepada Barca apabila melakukan percubaan dalam tempoh lima minit.
Tandukan Antonio Rudiger juga tersasar pada malam yang positif buat tuan rumah tetapi Barca memiliki peluang terbaik pada minit ke-16.
Dalam perlawanan itu Chelsea berterusan mengawal Messi dengan tiga atau empat pemain untuk mengehadkan pergerakan pemain Argentina itu tetapi dia berjaya melakukan hantaran silang ke kawasan penalti tetapi tandukan Paulinho tersasar.
Barca kemudian terus mendominasi perlawanan, tetapi pasukan pelawat agak tumpul di bahagian serangan bahkan bernasib baik kedudukan tidak berubah hingga rehat separuh masa. – AFP