MADRID, 23 DIS – Lionel Messi mengatasi rekod jaringan Pele untuk sebuah kelab apabila dia menjaringkan gol yang ke-644 untuk Barcelona ketika mereka melakarkan kemenangan 3-0 ke atas Valladolid.
Penyerang Argentina menjaringkan gol ketiga Barca apabila menyambut hantaran Pedri seterusnya menewaskan penjaga gol Jordi Masip minit ke-65.
“Ketika saya bermain bola sepak saya tidak pernah menyangka akan memecahkan mana-mana rekod seperti apa yang saya capai hari ini,” kata Messi.
“Saya hanya dapat berterima kasih kepada semua pihak yang sudah menolong saya selama ini, rakan pasukan, keluarga, rakan saya dan semua yang menyokong saya setiap hari.”
Messi menyamai rekod Pele pada Sabtu lalu ketika Barca seri 2-2 dengan Valencia.
Kedua-dua pemain itu menjaringkan gol hampir sama untuk kelab mereka.
Ia adalah perlawanan kompetitif yang ke-749 untuk pemain Argentina berusia 33 tahun itu bersama Barca bermakna dia menjaringkan gol setiap 1.16 perlawanan. Manakala legenda Brazil itu meledakkan 643 gol dalam 757 perlawanan bersama Santos yang mana beliau bermain antara 1956 dan 1974, atau satu dari setiap 1.17 perlawanan. – AFP































