Messi atlet terkaya

NEW YORK, 12 JUN – Lionel Messi merupakan atlet yang menerima bayaran tertinggi di dunia dalam tempoh setahun ini, menurut laporan Forbes pada senarai tahunannya bagi kekayaan sukan.

Bintang Barcelona dan Argentina, Messi, mengatasi petinju yang sudah bersara, Floyd Mayweather, sebagai penerima bayaran tertinggi dalam dunia sukan, dengan meraih AS$127 juta melalui gaji dan perjanjian berbayar.

Itu meletakkan Messi di depan pesaing hebatnya, Cristiano Ronaldo, bintang Juventus dan Portugal yang berada di kedudukan kedua dengan pendapatan AS$109 juta.

Bintang penyerang Brazil dan Paris Saint-Germain, Neymar, melengkapkan tiga kedudukan teratas yang didominasi oleh pemain bola sepak, dengan pendapatan AS$105 juta di tempat ketiga.

Kedudukan keempat atlet yang meraih bayaran tertinggi adalah petinju dari Mexico, Saul ‘Canelo’ Alvarez dengan pendapatan AS$94 juta.

Gambar yang diambil pada 18 Disember 2018 menunjukkan Messi bergambar bersama lima anugerah Kasut Emas yang dimenanginya. – AFP

Alvarez, yang menewaskan Gennady Golovkin pada September tahun lepas menjadi juara unified middleweight, meraih satu perjanjian mewah dalam sejarah tinju pada Oktober lepas dengan menandatangani kontrak lima tahun, 11 pertarungan bersama rangkaian penstreman, DAZN, yang bernilai AS$365 juta.

Sementara itu, bintang tenis Roger Federer berada di kedudukan kelima dalam senarai Forbes dengan pendapatan keseluruhan AS$93.4 juta.

Sebahagian besar pendapatan Federar datangnya daripada perjanjian berbayar, di mana juara Grand Slam sebanyak 20 kali itu meraih AS$86 juta.

Bintang-bintang dari NFL dan NBA melengkapkan senarai 10 atlet teratas, dengan quarterback Seattle Seahawks, Russel Wilson berada di kedudukan keenam dengan pendapatan AS$89.5 juta, diikuti oleh Aaron Rodgers dari Green Bay Packers (AS$89.3 juta).

Bintang Los Angeles Lakers, LeBron James merupakan pemain NBA yang menerima bayaran tertinggi, dengan pendapatan AS$89 juta, sementara Stephen Curry dari Golden State Warriors di kedudukan kesembilan, dengan AS$79.8 juta.

Rakan sepasukan Curry di Warriors, Kevin Durant, berada di kedudukan ke-10 ranking dengan AS$65.4 juta.

Bekas pemain golf nombor satu dunia, Tiger Woods di ranking ke-11 senarai dengan AS$69.3 juta, yang termasuk kira-kira AS$54 juta daripada perjanjian berbayar. – AFP