Messi bantu Barca julang piala Copa del Rey

MADRID, 18 APRIL – Lionel Messi menjaringkan dua gol, termasuk gol solo yang menakjubkan, ketika Barcelona menewaskan Athletic Bilbao untuk memenangi piala Copa del Rey semalam, kekalahan kedua Athletic di final dalam masa dua minggu.

Barca menjaringkan empat gol di Seville untuk meraih kemenangan dengan Messi mempamerkan aksi terbaiknya.

Masih belum dapat terjawab apakah kemenangan ketujuh piala Copa del Rey tersebut adalah trofi terakhir yang dimenangi Messi bersama Barcelona sebelum mengucapkan selamat tinggal.

“Sangat istimewa untuk menjadi kapten pasukan ini di mana saya telah menghabiskan sepanjang hidup saya dan sangat istimewa untuk dapat menjulang piala ini,” kata Messi.

Jaringan pertamanya dan gol ketiga Barca, sangat menakjubkan apabila pemain Argentina itu mula berlari membawa bola dari separuh padang di sebelah kanan dan masuk ke kawasan penalti serta melakukan sepakan penyudah.

Pasukan Barcelona ketika meraikan trofi kemenangan mereka setelah memenangi Copa del Rey Sepanyol 2021 menentang Athletic Bilbao di Stadium La Cartuja di Seville, semalam. – AP

Dengan kehadiran presiden baharu kelab, Joan Laporta, gelaran pertama Ronald Koeman sebagai jurulatih Barcelona juga telah meningkatkan peluangnya untuk terus kekal musim depan.

“Untuk memenangi gelaran adalah penting bagi saya,” Koeman mengakui selepas itu.

Namun Laporta masih mengelak ketika ditanya mengenai masa depan Koeman.

“Dia baik-baik saja,” katanya.

Koeman mengambil alih pasukan semasa berada dalam keadaan merosot, dimalukan apabila tewas menentang Bayern Munich dan kebimbangan Messi untuk meninggalkan kelab secara percuma.

Tetapi kejayaan Copa del Rey ke-31 untuk kelab itu adalah bukti kemajuan yang dicapai dan Koeman berharap ia bukan sahaja dapat membantu meyakinkan Messi untuk terus kekal tetapi memberi momentum kepada Barca sekarang dalam perlumbaan gelaran di La Liga.

“Walaupun terdapat perubahan di kelab dan pemain muda, di Barca anda harus selalu memperjuangkan untuk merangkul piala,” kata Koeman.

“Kami memiliki yang pertama dan sekarang kami akan berjuang di La Liga.”

Gerard Pique mengatakan bahawa ia seperti kelab telah ‘dibetulkan semula’.

“Kadang-kadang anda jatuh dan anda harus bangun,” kata Pique. “Ini adalah tahun yang sukar tetapi pasukan telah kembali bangkit.” – AFP