LOS ANGELES, 4 SEPT – Inter Miami memberikan kemenangan yang mengagumkan dalam era Lionel Messi mereka, 3-1 ke atas juara Major League Soccer, Los Angeles FC, kelmarin dengan dua bantuan daripada pemain Argentina itu meningkatkan harapan playoff mereka.
Gol daripada penyerang Argentina, Facundo Farias, pemain pertahanan Sepanyol, Jordi Alba dan pemain gantian, Leonardo Campana dari Ecuador memberikan kemenangan untuk Miami yang kini hanya terpaut sembilan mata daripada tempat playoff dengan baki sembilan perlawanan.
Penonton tuan rumah, yang dipenuhi oleh selebriti termasuk Leonardo DiCaprio, Selena Gomez dan Putera Harry, berasa kecewa kerana pemenang Piala MLS tahun lalu mensia-siakan beberapa siri peluang.
Selepas mengharungi situasi cemas, Miami mendahului pada minit ke-14 apabila Tomas Aviles melepasi pertahanan LAFC untuk mencari Farias yang menewaskan John McCarthy dengan rembatan rendah.
Pemain antarabangsa Gabon kelahiran Perancis, Denis Bouanga gagal menukar beberapa peluang jelas untuk LA dan mereka terpaksa me-nerima padah pada minit ke-51 apabila gabungan bekas trio Barcelona dari Miami menja-ringkan gol bergaya.
Pemain tengah Sepanyol, Sergio Busquets memberi umpan kepada Messi lalu memilih Alba yang menyusuri lapangan dan menjaringkan gol dengan penyudah tenang dengan kaki kiri.
Miami mengawal perlawanan dengan kukuh dan melengkapkan kemenangan pada minit ke-83 apabila Messi meluru dari bahagian tengah dan melepaskan bola ke arah Campana yang tidak membuat kesilapan dengan penyudah melencong.
LA mendapat saguhati minit ke-90 melalui tandukan Ryan Hollingshead’a yang melantun dari sepakan sudut. – AFP
