CUIABA, BRAZIL, 29 JUN – Lionel Messi meraikan rekod penampilan antarabangsa ke-148 dengan meledak dua gol ketika Argentina membenam Bolivia 4-1 untuk merebut kedudukan teratas Kumpulan A Copa America, kelmarin.
Messi – yang menyamai rekod penampilan Javier Mascherano bersama Argentina dengan 147 penampilan minggu lalu – mewakili Argentina buat kali ke-148 dengan bergaya, membantu rakan sepasukan menjaringkan gol sebelum meledak dua gol.
Kemenangan di stadium Arena Pantanal, Cuiaba menyaksikan Argentina mara ke peringkat suku akhir pada Sabtu menentang Ecuador, yang menamatkan kedudukan di tangga keempat dari Kumpulan B.
Bolivia, yang sudah tersingkir selepas mencatat tiga kekalahan dalam kesemua perlawanan pembukaan mereka, gagal mengekang kemaraan Argentina.
Argentina nyaris mendahului perlawanan seawal minit ketiga, selepas penjaga gol Bolivia, Carlos Lampe berjaya membuat aksi menyelamat sebanyak dua kali hasil percubaan Sergio Aguero dan Angel Correa.
Tetapi Argentina tidak perlu menunggu lama untuk membolosi gawang, apabila Messi menghantar bola kepada Papu Gomez yang kemudian membuat rembatan voli menewaskan Lampe untuk menjadikan kedudukan 1-0 selepas enam minit perlawanan.
Argentina menggandakan kedudukan pada minit ke-33 apabila Gomez dijatuhkan dalam kotak penalti oleh pemain Bolivia, Diego Bejarano.
Messi kemudian menyempurnakan sepakan penalti untuk mengukuhkan kedudukan Argentina menguasai perlawanan.
Bolivia meraih percubaan pertama tidak lama sesudah itu, Jeyson Chura melakukan percubaan dari jarak jauh memaksa penjaga gol Argentina, Franco Armani untuk menyelamatkan bola.
Tetapi Argentina kembali menguasai perlawanan dan Messi sekali lagi meledak gol untuk menjadikan kedudukan 3-0.
Bolivia berjaya merapatkan kedudukan pada minit ke-60 menerusi Erwin Saavedra selepas menerima hantaran lintang dari Leonel Justiniano.
Argentina tidak duduk diam dan segera melakukan serangan, pemain gantian Lautaro Martinez mencetak nama selaku penjaring pada minit ke-65 dari jarak dekat. – AFP