Messi digantung dua perlawanan

MADRID, 20 JAN – Lionel Messi digantung dua perlawanan selepas menerima kad merah pertama sepanjang beraksi bersama Barcelona.

Penyerang Argentina itu menerima kad merah pada hujung saingan ketika kalah 2-3 kepada Athletic Bilbao dalam aksi final Piala Super Sepanyol apabila mengasari Asier Villalibre.

Messi pernah diarahkan keluar padang ketika beraksi bersama Argentina termasuk di Copa America 2019 namun tidak pernah menerima kad merah dalam tempoh 16 tahun dan 753 perlawanan bersama Barcelona.

Enam kali pemenang Ballon d’Or itu digantung setelah diumumkan oleh Persekutuan Bolasepak Sepanyol dengan Barca kemudian mengemukakan rayuan terhadap pemain bintang mereka itu. Messi yang baharu saja pulih dari kecederaan paha kembali beraksi di Seville dan terpaksa bermain sepanjang 120 minit ketika Barca dibawa ke sepakan penentuan penalti.

Sebaliknya, pemain berusia 33 tahun itu telah hilang sabar di akhir perlawanan, bertindak balas terhadap cabaran lewat dari Villalibre dengan menghempas tangannya ke belakang Villalibre. Messi pernah menerima kad merah 15 tahun lalu ketika bersama Barca namun ketika itu dia beraksi bersama skuad kedua di divisyen tiga, berdasarkan pakar statistik Sepanyol, Alexis Martin Tamayo. – AFP

Reaksi Messi setelah dilayangkan kad merah semasa perlawanan akhir Piala Sepanyol menentang Athletic Bilbao di Stadium La Cartuja pada 17 Januari lalu. – AP