Messi julang Barcelona

MADRID, 23 FEB – Lionel Messi mencatatkan empat gol untuk membantu Barcelona meraih semula tangga teratas LA Liga dengan Real Madrid mengalami kekalahan di tangan Levante Sabtu lalu, seminggu sebelum perlawanan El Classico.

Mimpi ngeri Madrid bertambah buruk selepas pemain pembelian termahal mereka, Eden Hazard disahkan tercedera, di mana beliau terpaksa digantikan pada separuh masa kedua dalam perlawanan di Valencia yang berkesudahan Real Madrid tewas 1-0, dan sekarang Hazard masih dalam bilik rawatan berkemungkinan akan digugurkan untuk perlawanan Madrid seterusnya menentang Manchester City di saingan Liga Juara-Juara Rabu ini.

Messi sementara itu yang tidak menjaringkan sebarang gol di empat perlawanan sebelumnya, telah menjaringkan empat gol ketika menentang Eibar, manakala pembelian kecemasan Barca, Martin Braithwaite berjaya membuat dua bantuan gol selepas dimasukkan dari bangku simpanan, bantuan gol kepada Messi dan Arthur Melo pada saat akhir perlawanan.

Kemenangan besar 5-0 dan kekalahan Real Madrid, bermakna Barca telah merampas kedudukan teratas carta La Liga, dengan dibezakan dua mata dengan pasukan Real Madrid, sebelum mereka bertemu sesama sendiri di Santiago Bernabeu Sabtu depan. Messi menjaringkan gol pembukaan seawal minit ke-14 selepas mengutip bola dari bahagian tengah, lalu membawa bola dengan jarak 30 meter sebelum menewaskan tiga pertahanan Eibar lalu menendang bola di sudut gawang.

Gol kedua hadir pada minit ke-37 di mana Sergio Busquets membuat hantaran kepada Arturo Vidal dan Vidal melorongkan bola untuk Messi. Messi maju ke hadapan dan melepaskan bentang Eibar sebelum menyepak bola masuk ke gawang. – AFP