Messi kecewa dikeluarkan Pochettino

PARIS, 20 SEPT – Jurulatih Paris Saint-Germain (PSG), Mauricio Pochettino mempertahankan tindakannya selepas mengeluarkan Lionel Messi ketika menewaskan Lyon 2-1 dalam aksi Ligue 1 di laman sendiri semalam.

Messi mempamerkan aksi cemerlang pada separuh masa pertama di Stadium Parc des Princes tetapi prestasinya mula merosot selepas rehat dan digantikan dengan Achraf Hakimi pada 15 minit terakhir ketika kedudukan masih seri 1-1.

Perlawanan itu berakhir dengan PSG menang 2-1 menerusi jaringan pemain gantian Mauro Icardi.

“Semua orang tahu kami miliki ramai pemain yang hebat dalam skuad seramai 35 orang. Ia keputusan saya tetapi kami hanya boleh menurunkan 11 pemain pada satu-satu masa,’’ kata Pochettino selepas perlawanan.

“Saya hanya memikirkan untuk membuat keputusan terbaik dalam setiap perlawanan, untuk setiap pemain sama seperti dilakukan setiap jurulatih.

“Kami di sini untuk membuat keputusan. Ada kalanya pemain suka dengannya dan kadang-kadang tidak.’’

Messi kelihatan tidak puas hati dan enggan bersalaman dengan Pochettino ketika dia menuju ke tempat duduk bangku simpanan.

Pochettino menafikan pemenang enam kali Ballon d’Or tidak gembira dan berkata, “Saya tanya keadaannya dan dia berkata ok, tiada masalah.’’

Messi yang sepakan percumanya terkena tiang pada separuh masa pertama masih lagi memburu gol sulungnya sejak menyarung jersi PSG. – AFP

Reaksi pasukan Manchester United ketika meraikan jaringan gol kedua pasukan menerusi Lindgard pada perlawanan EPL antara West Ham United dan Manchester United di Stadium London semalam. – AP