Messi mungkin kekal bersama kelab Barca?

MADRID, 3 SEPT – Jorge Messi, ayah dan ejen kepada Lionel Messi, mengakui bahawa anaknya mungkin akan kekal bersama Barcelona musim ini, menurut rakaman yang disiarkan oleh media Sepanyol hari ini.

Ayah Messi dilihat menjawab ‘Ya’ apabila ditanya oleh wartawan jika mereka boleh membuat andaian kemungkinan dia akan kekal bersama kelab untuk satu musim lagi dan meninggalkannya secara percuma tahun depan, dalam video yang dirakam oleh stesen televisyen Sepanyol, Cuatro.

Gambar tersebut diambil ketika Jorge Messi memasuki garaj parkir untuk bertemu dengan peguam keluarga itu.

Dia tiba di Barcelona kelmarin, mendarat di terminal persendirian di lapangan terbang El Prat dalam penerbangan dari bandar Argentina, Rosario. Pemenang Ballon d’Or enam kali, Messi memboikot sesi latihan pra musim Barcelona pada Isnin lalu, tatkala dia berusaha untuk keluar dari kelab yang disertainya sejak berusia 13 tahun.

Messi juga gagal menghadiri sesi ujian koronavirus di padang latihan Barcelona pada Ahad lepas. Ayah Messi yang diekori oleh wartawan dan kru televisyen di seluruh bandar kelmarin, memberitahu wartawan bahawa adalah ‘sukar’ untuk anaknya kekal bersama Barcelona.

Menurut laporan setempat, pengarah kelab membuat perjumpaan bersama Messi dan penasihatnya selama lebih dua jam kelmarin, tetapi kedua-dua pihak enggan mengalah dengan pendirian mereka. Lebih banyak rundingan dijangka akan dilakukan dalam masa terdekat di antara Barcelona dan pihak Messi, yang termasuk abangnya, Rodrigo.

Barcelona menegaskan ketua pasukan mereka masih dalam kontrak sehingga Jun 2021 dan hanya akan dilepaskan jika klausa pelepasan berjumlah 700 juta euro diaktifkan, satu pendirian yang telah disokong oleh La Liga, yang menyatakan klausa pelepasan masih berkuatkuasa.

Namun Messi dan peguamnya berpendapat dia dibenarkan untuk dilepaskan secara percuma pada musim panas ini menurut satu lagi klausa lain yang terdapat dalam kontraknya, yang didakwa oleh mereka dicetuskan pada 25 Ogos apabila faks menyatakan hasrat Messi untuk meninggalkan kelab sampai di Camp Nou. – AFP

Jorge Messi mengakui bahawa anaknya mungkin akan kekal bersama Barcelona musim ini. – AFP