Messi padam rekod Pele selaku penjaring terbanyak

BUENOS AIRES, 10 SEPT – Lionel Messi menjaringkan hatrik untuk memintas rekod dipegang oleh Pele sebagai penjaring terbanyak peringkat antarabangsa dalam sejarah bola sepak Amerika Selatan semalam selepas Argentina berjaya mengalahkan Bolivia 3-0 dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022.

Messi meledak gol antarabangsa ke-77, 78 dan 79 untuk mengukuhkan kedudukan Argentina untuk berada di final tahun hadapan di Qatar menentang pasukan Bolivia yang berada di kedudukan bawah peringkat kumpulan.

Pemain Paris Saint-Germain berusia 34 tahun itu membuat penampilan ke-153 untuk Argentina, menyamakan rekod Pele dengan menjaringkan gol ke-77 pada minit ke-14, menewaskan pemain pertahanan dan kemudian melencongkan bola melepasi penjaga gol Bolivia, Carlos Lampe.

Ketua pasukan Argentina itu melepasi rekod Pele pada minit ke-64 menerusi gol kedua perlawanan, bergerak ke dalam kotak penalti Bolivia dan membuat hantaran satu-dua dengan Lautaro Martinez sebelum menyudahkan bola dari jarak dekat.

Messi melengkapkan hatrik ketujuh peringkat antarabangsa dalam kariernya dua minit sebelum masa tamat, menyambut bola terlantun dari jarak dekat selepas percubaan dari penjuru kotak penalti berjaya ditepis oleh Lampe.

Reaksi Lionel Messi menjulang trofi Copa America pada penghujung perlawanan kelayakan Piala Dunia FIFA menentang Bolivia di Stadium Momumental di Buenos Aires, semalam. – AFP

“Saya menantikan saat ini,” kata Messi sejurus tamat perlawanan.

“Sekarang saya boleh menikmatinya, saat yang unik selepas sekian lama.

“Saya sangat gembira,” tambahnya.

Bekas bintang Barcelona itu menyaingi rekod yang dipegang oleh Cristiano Ronaldo bagi jaringan dalam bola sepak antarabangsa dengan 111 gol dari 180 perlawanan.

Kemenangan tersebut dilakar empat hari selepas Argentina terlibat dalam kontorversi dengan Brazil di Sao Paulo, dengan kedua-dua pasukan pada Ahad lalu terpaksa menghentikan perlawanan selepas tujuh minit dimainkan ekoran kontroversi COVID-19.

Pihak berkuasa Brazil menghentikan perlawanan selepas bantahan melibatkan pemain yang berpangkalan di England, Giovani Lo Celso dan Cristian Romero dari Tottenham serta pemain Aston Villa, Emiliano Martinez dan Emiliano Beundia. Kesemuanya dituduh memasuki Brazil dengan cara yang salah. – AFP