Messi perlu dibenarkan tinggalkan kelab – Enrique

MADRID, 6 SEPT – Bekas jurulatih Barcelona, Luis Enrique, yang sekarang ini membimbing Sepanyol, menyarankan agar kelab berkenaan harus membenarkan Lionel Messi meninggalkan mereka.

“Ia isu yang sensitif. Saya rasa kelab berada paling atas berbanding pemain. Barcelona ditubuhkan pada 1899 dan salah satu pasukan terbaik di dalam dunia.

“Memang jelas wujudnya hubungan yang hebat, Leo menjadikan Barca berkembang dengan pesat tapi saya lebih menyukainya jika ada persetujuan,” kata Enrique menjelang aksi Sepanyol menentang Ukraine hari ini.

Enrique bekerjasama dengan Messi di Barca dari 2014 hingga 2017 dan mereka berjaya meraih ‘treble’ bersama-sama pada 2015.

“Lambat-laun Messi akan berhenti beraksi dengan Barca. Kelab berkenaan akan meneruskan meraih gelaran tanpa Messi, sama juga Messi akan meneruskan kehebatan walaupun dia sudah meninggalkan Barca,” katanya.

Reaksi Enrique ketika menyaksikan per-lawanan Liga Negara-Negara UEFA, baru-baru ini. Enrique menyarankan agar Lionel Messi dibenarkan meninggalkan kelab Barca. – AFP

Messi berkata dia akan kekal di Barcelona sambil menegaskan dia tidak akan mengheret kelab tersebut ke mahkamah sepanjang hidupnya namun berang dengan tindakan presiden, Josep Maria Bartomeu.

Dia mendakwa Bartomeu melanggar perjanjian dengan enggan melepaskannya secara percuma selepas berakhir musim lalu.

“Presiden sering kali berkata bahawa pada hujung musim ini, saya boleh memilih sama ada untuk pergi atau kekal, tetapi pada akhirnya dia seperti tidak mengotakan janjinya,” kata Messi.

“Dan ini juga penyebab mengapa saya terus berada dalam kelab ini… kerana presiden memberitahu saya bahawa satu-satu jalan untuk saya meninggalkan kelab ini adalah dengan membayar pelepasan klausa sebanyak 700 juta euro.”

Messi bagaimanapun menggambarkannya sebagai ‘mustahil’ sambil menambah dia tidak akan pernah membawa kelab kesayangannya itu ke muka pengadilan. – AFP