Messi promosi ‘token peminat’

PARIS, 18 NOV – Apabila Paris Saint-Germain menandatangani Lionel Messi, pakej gaji termasuk sesuatu yang tidak pernah didengar untuk seorang pemain – bayaran sekali gus, difahami bernilai kira-kira satu juta euro, dibuat dalam bentuk ‘token peminat’ PSG.

Ia merupakan hasil perkongsian yang dimeterai oleh kelab gergasi Perancis pada 2018 dengan Socios.com yang melihat peminat menggunakan mata wang kripto dipanggil ‘chiliz’ untuk membeli token sekali gus membenarkan mereka mengundi mengenai isu berkaitan kelab.

Isu berkenaan adalah bersifat biasa, misalnya Juventus bertanyakan muzik yang harus dimainkan oleh mereka di stadium, tetapi konsep tersebut telah menerima sambutan hangat.

Syarikat itu telah berkembang dengan pesat sejak menandatangani perkongsian pertama dengan PSG dan Juventus yang terbabit dengan 56 kelab bola sepak dan kira-kira 100 pasukan sukan di seluruh dunia, kata Ketua Pegawai Eksekutif Alexandre Dreyfus.

Messi telah membawa lebih banyak publisiti, dan Dreyfus percaya pemain Argentina itu akan ‘menetapkan trend.’

Aksi LionelMessi semasa memanaskan badan sebelum perlawanan kelayakan Amerika Selatan menentang Brazil di stadium SanJuandelBicentenario di SanJuan, Argentina pada 16 November. – AFP

“Ia merupakan lebih daripada pakej tambahan yang tidak akan mengganti sebarang pampasan. Ia dilihat lebih daripada satu bonus, tetapi ia adalah bonus yang akan diminta oleh pemain pada satu tahap tertentu,” beritahu Dreyfus kepada AFP dari pejabatnya di Malta.

“Kami berharap dalam dua tahun, semasa ruang pemindahan, seorang pemain akan berkata: “Ya saya akan memilih pasukan itu dan mereka perlu memberikan saya token peminat bernilai jutaan dolar.”

Dreyfus mengaku pandemik dan krisis ekonomi telah memberi ganjaran kepada syarikatnya, membenarkan mereka menambah perkongsian mereka.

Kini mereka mempunyai perjanjian tajaan kemeja dengan Inter Milan dan Valencia, mempromosi token peminat mereka.

Nilai ‘chiliz’ – mata wang kripto yang kurang dikenali berbanding Bitcoin, meningkat 58 peratus dalam masa empat minggu selepas ketibaan Messi. – AFP