Wednesday, December 4, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Messi, PSG dimalukan Rennes

    PARIS, 4 OKT – Lionel Messi mengalami kekalahan pertama di Ligue 1 selepas Paris Saint-Germain (PSG) tewas 0-2 kepada Rennes semalam sekali gus menamatkan rekod cemerlang lapan perlawanan mereka berturut-turut, sementara Marseille juga tewas pada hari mereka meratapi kematian bekas presiden kontroversial Bernard Tapie.

    Sepakan percuma Lionel Messi terkena palang pada separuh masa pertama di Roazhon Park sebelum Gaetan Laborde meledak voli untuk gol pertama Rennes sebelum rehat yang juga jaringan keenamnya musim ini. Flavien Tait juga menambah gol pada awal separuh masa kedua ketika Rennes menggandakan kelebihan mereka.

    Manakala gol Kylian Mbappe dibatalkan kerana ofsaid yang menyebabkan PSG tewas dalam liga buat pertama kali selepas meraih kemenangan lapan perlawanan berturut-turut.

    “Kami tidak memulakan perlawanan dengan baik tetapi kemudian kami bermain cemerlang untuk 25-30 minit. Sayang sekali kami tidak menjaringkan gol. Kami bolos dua gol yang sukar untuk diterima,” kata jurulatih PSG, Mauricio Pochettino.

    PSG tewas dalam liga buat pertama kalinya sejak April, apabila mereka tewas 1-0 di tempat sendiri oleh juara liga musim lalu, Lille.

    Messi disenaraikan bersama Neymar, Mbappe dan Angel Di Maria buat kali kedua, permulaan keduanya dalam liga buat PSG selepas tidak bermain dalam dua perlawanan awal Ligue 1 kerana kecederaan lutut.

    Gianluigi Donnarumma sekali lagi dipilih menjaga gawang gol berbanding Keylor Navas selepas cemerlang ketika membantu PSG melakar kemenangan ke atas Manchester City pada saingan Liga Juara-Juara. – AFP

    Reaksi Lionel Messi selepas tamat perlawanan di Ligue 1 apabila tewas menentang Rennes di Stadium Roazhon Park di Rennes semalam. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda