Messi saksikan rakan sepasukan benam Strasbourg

PARIS, 15 OGOS – Lionel Messi membuat kemunculan pertama di laman sendiri awal pagi tadi ketika dia diperkenalkan di hadapan peminat di stadium Paris Saint-Germain (PSG) yang penuh sebelum menyaksikan perlawanan di mana rakan sepasukannya berjaya menundukkan Strasbourg 4-2 di Ligue 1 dengan Kylian Mbappe memainkan peranan utama.

Messi mendapat sambutan luar biasa ketika dia berlari ke tengah padang bersama-sama pemain pembelian baharu PSG yang lain, dengan 48,000 peminat memberi sorakan kepada pemenang Ballon d’Or sebanyak enam kali, sejam sebelum perlawanan bermula.

Messi turut disertai oleh Sergio Ramos, Gianluigi Donnarumma, Georginio Wijnaldum dan Achraf Hakimi di Parc des Princes dan majlis perasmian tersebut sedikit sebanyak lebih mencari tumpuan berbanding perlawanan tersebut.

Bintang Argentina itu kemudian menyaksikan perlawanan dari tempat duduk bersama-sama Neymar dan Angel di Maria – ketiga-tiga pemain tersebut masih belum cergas untuk bermain selepas melanjutkan tempoh percutian tatkala bermain di Copa America – dan pasukan Mauricio Pochettino melakar dua kemenangan daripada dua perlawanan Ligue 1 musim ini.

Mereka mendahului 3-0 pada separuh masa pertama hasil jaringan Mauro Icardi dan Julian Draxler serta gol sendiri daripada Ludovic Ajorque, namun Kevin Gameiro dan Ajorque berjaya merapatkan kedudukan selepas separuh masa untuk memberi sedikit harapan buat pasukan pelawat. – AFP

Reaksi Kylian Mbappe selepas membantu pasukan mencatat kemenangan menewaskan Starsbourg di Ligue 1, awal pagi tadi. – AP