Messi tunjuk taring

MADRID, 17 Dis – Lionel Messi meneruskan prestasi menakjubkan selepas mencatat hatrik ke-31 dalam saingan La Liga apabila Barcelona membelasah Levante 5-0 semalam sekali gus mendahului dengan tiga mata di persada liga.

Pemain Argentina berusia 31 tahun itu tiba di Valencia selepas menjaringan dua sepakan percuma ketika menentang Espanyol. Setakat ini, Messi berjaya mengumpul 20 gol dan juga membantu Luiz Suarez menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-35 dan Gerard Pique pada lewat perlawanan.

Barca berdepan tekanan selepas Atletico Madrid dan penghuni nombor dua, Sevilla memiliki jumlah mata yang sama dengan gergasi Catalan itu.

Tetapi selepas merehatkan beberapa pemain utama ketika aksi Liga Juara-Juara menentang Tottenham minggu lalu, jurulatih Ernesto Valverde menyaksikan skuadnya meraih kemenangan ketiga berturut-turut tanpa bolos.

“Pada awalnya, ia sangat sukar dan mereka memberi tekanan dan mencipta peluang untuk menjaringkan gol,” kata Valverde.

Messi (kiri) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan ketika perlawanan menentang Levante yang berakhir dengan keputusan 5-0 berpihak kepada Barcelona. – AFP

Levante memulakan perlawanan dengan mantap dan penjaga gol Barca, Marc-Andre ter Stegen terpaksa bergelut untuk menyelamatkan cubaan Emmanuel Boateng.

Tetapi Barca tidak menunggu lama untuk mencipta peluang dengan rembatan lencong jarak jauh Messi sebelum menguji Oier Olazabal dengan sepakan percuma.

Belum lama selepas rembatan Boateng terkena palang, juara bertahan Sepanyol memecah kebuntuan apabila Messi bijak membawa bola meluru ke barisan pertahanan dan membuat hantaran kepada Suarez yang membuat rembatan voli.

Tetapi Levante hampir menyamakan kedudukan apabila rembatan Jose Luis Morales tersasar.

“Saya gembira, kami mencatat kemenangan di sini kerana pada tahun lepas, kami ke sini, mereka meledak lima gol selepas melalui rekod tanpa kalah sepanjang musim. Jadi kami tahu betapa bahayanya Levante dan ia merupakan perlawanan yang kami tunggu-tunggu,” tambah Valverde. – AFP