Messi wira Barcelona

BARCELONA, SPAIN, 28 NOV – Lionel Messi meraikan penampilan ke-700 untuk Barcelona dengan meletakkan satu lagi prestasi dominan apabila kelab Sepanyol itu memenangi kumpulan Liga Juara-Juara untuk musim ke-13 berturut-turut.

Messi memimpin Barcelona untuk meraih kemenangan 3-1 menentang Borussia Dormund, kelmarin dengan menjaringkan satu gol dan memberikan dua assists kepada pemain penyerang Luis Suarez dan Antoine Griezmann untuk menjaringkan gol.

Pemain hadapan Argentina memanfaatkan sepenuhnya masa dan ruang pertahanan Dortmund yang longgar memberikannya peluang berulang kali untuk mengucar-ngacirkan pemain pertahanan sekali gus memberikan perasaan gemuruh kepada penyokong tuan rumah.

Messi mencatatkan rekod buat kelabnya dengan 613 gol selepas membuka ruang kepada Suarez, yang kembali membantu memberi assist kepada Messi memberikan kedudukan 2-0 sebelum separuh masa pertama tamat. Gol Griezmann daripada hantaran Messi meletakkan pasukan dalam keadaan selesa sebelum pemain gantian Jadon Sancho memberikan satu gol buat Dortmund.

Dengan 700 perlawanan untuk Barcelona, Messi hanya mengekori Xavi Hernandez yang membuat 767 penampilan untuk kelab Sepanyol.

“Tujuh ratus perlawanan untuk Barcelona adalah tidak normal dan juga apa yang dilakukan (Messi) di atas padang,” kata penjaga gol Barcelona Marc-Andre ter Stegen.

Gol Messi di minit ke-33 membolehkan dia meletakkan satu lagi penanda aras dengan menjadi pemain pertama yang menjaringkan gol menentang 34 lawan yang berbeza dalam Liga Juara-Juara. Dia juga hampir-hampir menjaringkan gol keduanya apabila sepakan percumanya meleret di atas palang gawang. Messi mencatat 114 gol dalam kariernya.

Barcelona mengutip 11 mata dalam Kumpulan F dan menduduki tangga teratas dengan berbaki satu perlawanan. Manakala, Dortmund mengutip tujuh mata, tetapi berada di belakang Inter Milan dengan perbezaan jaringan selepas pasukan Itali itu menang 3-1 ke atas Slavia Prague. Prague sekadar memungut dua mata. – AP

Aksi Messi mengawal bola sambil dihalang oleh Mats Hummel semasa perlawanan Kumpulan F Liga Juara-Juara antara Barcelona dan Dortmund di Stadium Camp Nou di Barcelona. – AP